Skip to main content

Futsal

MPFL: Terengganu sasar tiga terbaik

mpfl-terengganu.jpeg
Skuad Terengganu menyasarkan kelompok tiga teratas dlam saingan sulung Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) 2019 berdasarkan prestasi pasukan berkenaan dalam dua perlawanan sebelum ini.

Jurulatih, Mohd Rozairi Ahmad, berkata sasaran diletakkan itu realistik memandangkan kejohanan itu baru bermula 22 Jun lalu dan pihaknya tidak mengetahui kekuatan pasukan lain.

Bagaimanapun, beliau yang juga bekas pemain bola sepak pantai kebangsaan meletakkan harapan tinggi terhadap kemampuan anak buahnya, terutama pertahanan, Akil Khalis Adli Khairul, serta pasangan kembar, Mohd Hafiz dan Mohd Hafizi Ismail, yang beraksi di posisi tengah dalam meraih kejayaan.

"Semua pasukan sudah semestinya mengidamkan gelaran juara sulung, maka buat permulaan kami letakkan sasaran tiga terbaik.

"Insya-Allah kami mampu capai sasaran itu kerana kami memiliki pasukan dan pemain yang bagus seperti Akil Khalis yang mencipta hatrik dalam perlawanan kedua ketika menewaskan Pulau Pinang 3-1, Sabtu lalu," katanya.

Skuad lelaki Terengganu dibarisi 14 pemain -- Tengku Azraf Fahmi Che Ku Sulong, Alif Shafiq Suhaimi, Mohd Irwan Mazlan, Ahmad Shafiq Afnan Azmi, Mohd Aizat Saari, Mohd Zikry Aiman Zamri, Akil Khalis, Mohd Hafiz, Muhammad Fitrah Mohamad, Amirrul Izzad Adang, Mohd Hafizi, Muhammad Alif Mat Amin, Haziq Shahiran Marzuki dan Muhammad Izzat Alif Rosdi.

Mohd Rozairi berkata hampir 80 peratus pemain Terengganu yang seri 2-2 dalam perlawanan pertama bertemu Kedah sebelum ini, terdiri daripada atlet Sukan Malaysia (Sukma).

Dalam pada itu, beliau menyambut baik penganjuran MPFL yang disifatkan sebagai landasan terbaik untuk pemilihan pemain yang akan membarisi skuad kebangsaan.

“Pada masa akan datang, saya fikir Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu mewajibkan semua negeri menghantar pasukan masing-masing unntuk meningkatkan persaingan dan menjadikan kejohanan ini lebih berprestij," katanya.

Kejohanan itu menyaksikan penyertaan sembilan pasukan dalam kategori lelaki manakala acara wanita melibatkan penyertaan empat pasukan.

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video