Skip to main content

Futsal

MPFL: Terengganu enggan dabik dada

futsal-mpfl-terengganu2019.jpg
Kejayaan membenam Kuala Lumpur 6-0 dalam aksi Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) malam tadi enggan dijadikan kayu pengukur buat skuad Terengganu.

Penolong jurulatih skuad futsal negeri itu, Syafiq Aizat Abdul Aziz, sebaliknya berkata mereka lebih senang untuk memberi tumpuan kepada satu demi satu perlawanan.

Menurutnya, masih terlalu awal untuk Terengganu dijadikan pasukan pilihan mahupun sebagai antara pencabar utama edisi sulung MPFL ini.

"Ini (kemenangan 6-0) bukan amaran kepada pasukan lain kerana kami cuma meletakkan sasaran dalam setiap perlawanan.

"Sebagai contoh, pertemuan dengan pasukan lebih baik seperti Selangor atau Pahang, kami akan cuba memberikan yang terbaik.

"Setakat ini, kami di landasan tepat untuk berada dalam kedudukan tiga terbaik seperi disasarkan sebelum ini," ujarnya.

Sementara itu Aizat mengakui keputusan menurunkan empat tonggak yang dibelenggu kecederaan memberikan hasil lumayan buat Terengganu.

Wan Mohd Hakim Wan Hussain dan Sirhan Aiman Saifulbahrin berada dalam senarai lima pemain manakala pasangan kembar, Mohd Hafiz serta Mohd Hafizi Ismail, bermula dari bangku simpanan.

Risiko diambil itu dibalas persembahan berkualiti dengan ledakan hatrik Hafiz membantu kemenangan besar mereka.

"Kuala Lumpur memberikan tentangan pada permulaan aksi seperti yang dijangka.

"Namun, kami berjaya mencuri peluang untuk mencipta enam jaringan," tambahnya.

Kredit foto: Terengganu FC (TFC)

Advertisement

Must Watch Video