Skip to main content

Futsal

MPFL: Pulau Pinang ungguli pesta gol dengan KL City

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

mpfl-penang.jpg
PULAU PINANG 7 KL CITY FC 5

Pulau Pinang membuka kempen Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) dengan gemilang selepas membelasah KL City FC 7-5 di Kompleks Sukan Panasonic, hari ini.


KL City terlebih dahulu membuka jaringan menerusi pemain muda, Muhammad Amirul Izwan Amrulnizam, pada minit kelapan.

Pulau Pinang memperkemaskan aksi sebelum Muhammad Nur Azfar Nor Azli Yaacob menyamakan kedudukan dua minit kemudian.

Namun, kedudukan itu hanya bertahan selama seminit apabila Jaya Prakash Rao kembali meletakkan KL City di depan selepas rembatannya menewaskan penjaga gawang Pulau Pinang, Mohamad Idham Osman.

Pulau Pinang segera menyekat keraian KL City apabila Muhammad Syafiq Abdul Rasyid kembali mengikat kedudukan.

Ketua pasukan KL City, Muzhaffar Tahar, memastikan pasukannya berkelebihan satu gol menjelang waktu rehat selepas melakukan gerakan solo dari sebelah kanan yang disudahkan dengan jaringan.

Dalam separuh masa kedua, Pulau Pinang mula mempamerkan belang sebenar apabila menjaringkan tiga gol dalam tempoh lima minit menerusi Azfar, Muhammad Haziq Mohd Yusoff dan Iqhmal Najmie.

Iqhmal menggandakan jaringannya pada minti ke-33 sebelum Hanis Izzudin Abdul Latif menjaringkan gol ketujuh Pulau Pinang.

KL City terus memburu jaringan dan usaha itu membuahkan hasil apabila Muzhaffar dan Aqim Mohamad Salihuddin mengecilkan jurang jaringan, masing-masing pada minit ke-34 dan 40.

Namun, usaha berkenaan sekadar terhenti setakat itu untuk mereka akur tewas dalam perlawanan pembukaan kepada Pulau Pinang.

Advertisement

Must Watch Video