Skip to main content

Futsal

MPFL: Perak buru kemenangan keempat

perak-futsal.jpg
Selepas meleburkan rekod tanpa kalah Pahang minggu lalu, Perak mahu menjadikan Terengganu mangsa seterusnya dalam saingan Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) 2019.

Justeru, aksi bertenaga seperti pertemuan dengan skuad Tok Gajah di Ipoh pada 25 Julai lalu dituntut daripada pemain Perak dalam aksi di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, malam esok.

Tanpa berniat memperkecilkan kemampuan tuan rumah itu, pengurus Perak, Wan Fadzli Izam Wan Zulkifli, berharap mereka mampu meraih kejayaan buat kali keempat bagi merapatkan jurang mata dengan pendahulu, Selangor dan Pahang.

Selangor mendahului dengan 17 mata, diikuti Pahang kurang satu mata tatkala Perak ketika ini menduduki kedudukan ketiga dengan mengutip 11 mata.

"Kami perlu ambil kesempatan berikutan keputusan seri 3-3 Pahang dan Selangor baru-baru ini dengan meraih mata penuh ke atas Terengganu.

"Jika itu dapat dilakukan, jurang mata antara kami dengan dua pasukan itu akan menjadi rapat," kata Wan Fadzli.

Dia juga berkata kejayaan ke atas Pahang itu meningkatkan keyakinan pemain Perak bagi menghadapi perlawanan dengan Terengganu.

Bagaimanapun, Wan Fadzli atau lebih dikenali sebagai Boy, mengingatkan pemain Perak supaya tidak bersikap terlalu yakin kerana bimbang ia memakan diri.

Kredit foto: Arena Futsal

Advertisement

Must Watch Video