MPFL
MPFL: Pahang perlu muncul juara
Jurulatih skuad futsal Pahang, Taufik Yaiyah, sedia mengorbankan kedudukannya andai skuad futsal Pahang gagal bergelar juara edisi sulung Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) 2019 yang akan bermula Sabtu ini.
Skuad futsal Pahang yang dikenali dengan Pahang Rangers dicanang antara pasukan pilihan untuk saingan MPFL musim ini.
Ia susulan pasukan itu telah merekrut beberapa pemain bintang, antaranya kapten skuad negara, Khairul Effendy Bahrin, Saiful Nizam Mohd Ali dan Azwann Ismail.
Iklan
Turut menyertai revolusi besar-besaran pasukan itu ialah beberapa lagi pemain kebangsaan, iaitu Abu Haniffa Hassan, Akmarulnizam Idris dan Firdaus Ambiah.
Lantas, tiada alasan pasukan yang terbentuk menerusi gabungan pasukan futsal negeri Pahang dan Kuantan Rangers ini untuk tidak bergelar juara.
"Saya telah memberitahu kepada pasukan bahawa tiada apa yang pasti dan tiada apa yang mustahil. Kami telah diberikan sasaran oleh pihak pengurusan untuk muncul juara keseluruhan dan kami menyahut cabaran tersebut," kata Taufik.
Skuad futsal Pahang hari ini mengadakan perlawanan persahabatan menentang kelab amatur TOT FC sebagai persiapan akhir menghadapi MPFL.
Mereka diberi tentangan sengit sebelum menang 5-3 untuk kemenangan kedua dalam aksi persahabatan selepas menewaskan MAC FC 8-2 semalam.
"Kami telah berusaha untuk menggunakan beberapa taktikal yang baru dan segalanya kelihatan berhasil dengan baik," tambahnya.
Must-Watch Video



