MOTOGP
MotoGP: Quartararo, McPhee naik podium
Pelumba pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Fabio Quartararo, menamatkan perlumbaan di podium buat kali ketiga musim ini selepas menduduki tempat ketiga dalam Grand Prix (GP) Austria, hari ini.
Pelumba baru berasal dari Perancis berusia 20 tahun ini mengutip 16 mata selepas menamatkan perlumbaan 6.117 saat di belakang Andrea Dovizioso dari Ducati yang memenangi perlumbaan 28 pusingan itu di Litar Red Bull dalam masa 39 minit 34.771 saat.
Juara dunia dan pendahulu kejuaraan, Marc Marquez, daripada pasukan Repsol Honda di tempat kedua selepas mencatatkan masa 39:34.984 saat.
Iklan
Teman sepasukan Fabio, Franco Morbidelli, dari Itali juga berjaya mendapat enam mata kejohanan selepas menamatkan perlumbaan di tempat ke-10, 20.510s di belakang Dovi.
Selepas menamatkan perlumbaan di Catalunya (Sepanyol) dan ketiga di Assen (Belanda), Fabio kini berkedudukan ketujuh keseluruhan dengan 92 mata manakala Franco di tempat ke-12 dengan 58 mata.
Sementara itu, pelumba Moto3 pasukan Petronas Sprinta Racing, John McPhee, menaiki podium kali kedua musim ini selepas menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dengan catatan 37:51.240s selepas memenangi GP Perancis pada awal musim.
Pasukan VNE Sniper menguasai perlumbaan dengan berkedudukan dua tempat teratas dengan pelumba dari Itali Romano Fenati (37:50.135s) dan Tony Arbolino (+1.907s) menamatkan perlumbaan di tempat pertama dan kedua.
-- BERNAMA
Must-Watch Video