Skip to main content

Permotoran

MotoGP: Marquez tawan Sachsenring kali ke-10

marquez_1.jpg
Marc Marquez meneruskan rekod sensasinya di Sachsenring dengan meraih kemenangan berturut-turut dalam MotoGP Jerman, sebentar tadi. 

Pelumba Sepanyol itu merakamkan kemenangan ke-10 berturut-turut di litar itu - tujuh daripadanya menerusi aksi MotoGP -- untuk dia melebarkan kelebihan di puncak gelaran dunia. 

Marquez, yang sehari sebelumnya meraih kedudukan utama dalam 10 perlumbaan berturut-turut, tidak pernah terganggu meskipun dihambat selain mencipta rekod pusingan terpantas dalam meniti mata maksimum.

Ia bermakna penunggang Repsol Honda itu, yang meraikan kejayaan bersama-sama penyokong pada akhir perlumbaan, kini mendahului Andrea Dovizioso untuk gelaran pelumba dengan 58 mata setelah mendahului perlumbaan lalu menuju garisan penamat untuk pemburuan gelaran keenamnya. 

Dovizioso, yang mengalami mimpi ngeri dalam sesi kelayakan, bermula di kedudukan ke-13 tetapi penunggang Ducati itu berhempas-pulas untuk muncul selaku penunggang kelima terbaik. 

Penunggang Itali itu terlibat dalam aksi sengit dengan Danilo Petrucci dan Jack Miller untuk perebutan tempat keempat, namun bekas juara dunia itu dipintas di selekoh pertama pusingan terakhir yang menyukarkannya untuk bangkit. 

Alex Rins pula mengalami kekecewaan apabila terbabas di selekoh ke-11 ketika saingan berbaki 11 pusingan biarpun pada awalnya mempamerkan aksi menarik untuk berada di tempat kedua -- pelumba Sepanyol itu terbabas di batu kerikil.

Maverick Vinales -- yang masih segar daripada kejayaan di Assen, Belanda -- akhirnya meraih kedudukan kedua biarpun menerima tentangan daripada Cal Crutchlow. 

Penunggang muda berbakat, Fabio Quartararo, yang muncul tiga pelumba terpantas dalam pusingan kelayakan kedua, gagal menghabiskan perlumbaan apabila terbabas di selekoh kedua pusingan kedua.

Sementara itu, penunggang Red Bull KTM Tech3, Hafizh Syahrin Abdullah, terlepas mata apabila menamatkan saingan di kedudukan ke-16. 

Kedudukan 10 terbaik: 

1. Marc Marquez (Repsol Honda)
2. Maverick Vinales (Monster Energy Yamaha) +4.587saat
3. Cal Crutchlow (LCR Honda) +7.741s
4. Danilo Petrucci (Ducati) +16.577s
5. Andrea Dovizioso (Ducati) +16.669s
6. Jack Miller (Pramac Racing) +16.836s
7. Joan Mir (Suzuki Ecstar) +17.156s
8. Valentino Rossi (Monster Energy Yamaha) +19.110s
9. Franco Morbidelli (Petronas Yamaha) +20.634s
10. Stefan Bradl (Repsol Honda) +22.708s
 

Advertisement

Must Watch Video