Skip to main content

Permotoran

MotoGP: Marquez sedia korbankan penguasaan di Sachsenring

marquez.jpg
Marc Marquez bersedia untuk mengorbankan rekod cemerlangnya di Litar Sachsenring jika ia mampu membantunya melebarkan jurang mata keseluruhannya dalam Kejohanan Dunia MotoGP.

Juara dunia lima kali itu menempah petak utama Grand Prix Jerman, malam ini.

Ia merupakan kali ke-10 pelumba Repsol Honda itu menempah petak berkenaan dalam semua kelas.

Dia juga menjuarai perlumbaan itu selama sembilan tahun berturut-turut -- enam daripadanya dalam kelas perdana -- namun pelumba Sepanyol itu tidak teragak-agak untuk menamatkan rekod cemerlangnya seandainya ia dapat membantunya untuk meraih kedudukan podium dengan lebih selamat tanpa merisikokan segala-galanya untuk bergelar juara.

Aksi konsisten Marquez, yang menamatkan perlumbaan dalam kemompok dua teratas dalam lapan daripada sembilan perlumbaan musim ini, menyaksikan dia mendahului kedudukan keseluruhan dengan kelebihan 44 mata.

Dia berazam untuk memanfaatkan waktu sukar pesaing utamanya, gandingan dua pelumba Ducati, Danilo Petrucci and Andrea Dovizioso, yang masing-masing akan bermula di petak ke-12 dan ke-13, di litar yang tidak digemari barisan pelumba Itali itu.

"Saya tidak memikirkan tentang kejuaraan ke-10 berturut-turut, saya hanya memikirkan kejuaraan.

"Kita akan lihat apa yang akan berlaku Ahad ini (malam ini), namun disebabkan beberapa faktor seperti (cengkaman) tayar akan berkurangan, cengkaman permukaan litar tidak begitu baik atau saya tidak dapat perasaan yang baik, adalah lebih baik untuk mengumpul mata sahaja.

 "Lebih baik kekal selaku pendahulu kejohanan daripada muncul juara di litar ini buat sekali lagi," katanya.

Muka baru yang kerap mencuri tumpuan, Fabio Quartararo, dan juara GP Belanda minggu lalu, Maverick Vinales, akan menyertai Marquez di barisan pertama, namun kedua-dua penunggang Yamaha itu tidak menjadi ancamannya dalam kedudukan keseluruhan.

Pelumba Suzuki Ecstar, Alex Rins, akan bermula di petak keempat, sama seperti posisinya dalam kedudukan keseluruhan.

Marquez menambah: "Benar bahawa kedua-dua pelumba Yamaha itu sedang berada di prestasi terbaik, tunggangan mereka amat baik. Rins juga mempunyai rentak yang baik.

"Perkara paling bagus untuk saya ialah dua pencabar utama kejuaraan, iaitu kedua-dua pelumba Ducati, sedang sedikit bergelut, terutama Dovi.

"Jadi ia amat penting dan ia peluang terbaik saya," tambahnya.   

Advertisement

Must Watch Video