Skip to main content

Sukan SEA

Misi naib juara dianggap realistik

setiausaha-agung-majlis-olimpik-malaysia-(mom),-datuk-mohd-nazifuddin-mohd-najib.jpg
Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib, akur gelaran juara keseluruhan Sukan SEA Filipina, 11 November hingga 30 Disember depan, adalah mustahil untuk dipertahankan ekoran kehilangan 70 pingat emas dan misi memburu gelaran kedua terbaik dianggap realistik. 

Pegawai persatuan sukan kebangsaan tidak menyembunyikan kekecewaan apabila hilang deretan emas.

Paling terkesan ialah berbasikal dan akuatik apabila gabungan mereka kehilangan 24 emas.

Ia susulan tindakan tuan rumah yang tidak menganjurkan banyak acara yang secara tidak langsung menjejaskan peluang negara untuk mempertahankan gelaran juara keseluruhan.

"Nak dapatkan gelaran juara mungkin sukar kerana banyak sukan baru yang dipertandingkan. 

"Tetapi masih ada ruang dalam 50 acara sukan yang akan kami disertai. Kami mungkin akan memperoleh pingat menerusi sukan baru seperti E-sukan dan hoki dalam air.

"Saya optimis dan saya berharap kontinjen negara boleh mengekalkan prestasi," katanya. 

Kontinjen negara pernah dua kali muncul juara keseluruhan di luar Kuala Lumpur, iaitu dalam edisi Brunei 1999 dan Korat 2007.

Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Sukan SEA di Wisma MOM hari ini menyaksikan sebanyak 21 persatuan membentangkan senarai atlet mereka dengan harapan akan diserapkan dalam kategori A.

"Kami memerlukan kualiti dalam Sukan SEA tetapi dalam masa yang sama sedar bahawa Sukan SEA adalah pelantar pendedahan buat atlet muda. 

"Jadi, MOM ada ruang untuk berbincang dengan persatuan sukan untuk membawa atlet pelapis bagi mewakili Malaysia," katanya.

Sementara itu, pegawai persatuan sukan kebangsaan bimbang mengenai misi muncul naib juara keseluruhan.

Setakat ini, Malaysia hilang 70 daripada 145 emas di Kuala Kumpur dan mungkin kesannya kelak lebih buruk di Filipina.

"Pingat emas yang tinggal untuk disasarkan berdasarkan pencapaian edisi 2017 adalah satu sahaja, iaitu melalui acara team tantra dan dua perak daripada mustard lelaki dan wanita," jelas penolong pengurus berbasikal negara, Kamarul Aizad Othman. 

"Kami akan menghantar penerjun pelapis dan dalam masa yang sama, penerjun seperti Dhabitah Sabri dan Wendy Ng antara pilihan utama, selebihnya terserah kepada jurulatih," kata Penolong Setiausaha Kehormat Kesatuan Renang Amatur Kebangsaan (ASUM), May Tan. 

"Acara dalam Sukan SEA kal ini tidak dipertandingkan di peringkat Persekutuan Sukan Menembak Antarabangsa (ISSF).

"Kalau dilihat daripada senarai itu, kategori 'silhouette dan bench rest' misalnya tiada dalam kejohanan di bawah ISSF. 

"Hakikatnya, hanya acara seperti air pistol, air rifle dan shotgun sahaja yang bertaraf ISSF,"  kata pengurus pasukan menembak, Musa Omar. 
 

Advertisement

Must Watch Video