SUKAN LAIN
Mike mahu Keen Hoo jumpa Syed Saddiq
Jaguh bina badan negara, Syarul Azman Mahen Abdullah, meminta pemain snuker, Moh Keen Hoo, agar bertemu dengan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, sebelum mengambil keputusan drastik berhijrah ke China ekoran ketidakpuasan hatinya terhadap sistem kebajikan atlet di Malaysia.
Syarul atau Mike pernah mengalami situasi sama apabila tidak mendapat elaun latihan walaupun bergelar Mr. Asia dan Mr. Universe.
Namun, campur tangan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq, menyaksikan dia mendapat beberapa bantuan, termasuk makanan tambahan, selain dihadiahkan sebuah unit pangsapuri di Bukit Jalil.
Iklan
Mike mencadangkan agar pemain snuker & billiard negara itu untuk bertemu Syed Saddiq bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.
"Syed Saddiq membuka ruang untuk bertemunya pada setiap hari Khamis, jadi mereka perlu memanfaatkan peluang itu untuk bertemu dengannya untuk meluahkan segala masalah.
"Mereka semua berjuang untuk negara, jadi jangan berputus asa.
"Kita masih ada Sukan SEA, jadi saya harap jangan berputus asa kerana minat anda terhadap sukan.
"Teruskanlah berjuang," katanya.
Ahad lalu, Nadi Arena melaporkan Keen Hoo selaku bekas pemenang pingat emas Sukan SEA Singapura 2015 dan Kejohanan Berpasukan Dunia pada tahun yang sama, terpaksa berhijrah ke China, bulan depan.
Ia susulan dia tidak mendapat elaun latihan sejak 2017 dan terpaksa mencari sumber pendapatan lain untuk menyara keluarganya.
Must-Watch Video