Skip to main content

Sukan Asia

Menembak: Sabki pertahan penyertaan dua penembak muda

nur-izazi-rosli.jpg
Jurulatih menembak negara, Mohd Sabki Moh Din, mempertahankan tindakan menyenaraikan penembak muda, Mohd Lutfi Othman dan Nur Izazi Rosli, meskipun kedua-duanya gagal mara ke peringkat akhir acara masing-masing dalam Sukan Asia Indonesia di Lapang Sasar Jakabaring, Palembang.

Sabki optimis di sebalik kegagalan dua penembak muda itu untuk mencipta impak dalam penampilan pertama mereka dalam temasya sukan itu, dengan menganggap masih ada sudut positif yang boleh dibanggakan.

Antaranya, prestasi Nur Izazi dalam saingan 10 meter indvidu air rifle menyaksikan dia menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik daripada 46 peserta dan hanya kurang 1.7 mata untuk menjamin slot ke final.

Justeru, Sabki meletakkan Nur Izazi antara prospek Malaysia pada masa depan tetapi dengan syarat program latihan harus dirangka dengan rapi jika mahu melihat Iur Izazi terus cemerlang.

"Ini penyertaan pertamanya dalam Sukan Asia. 

"Dia masih mencari rentak. Insya-Allah, jika dia terus diberi peluang lagi, dia pasti membuktikan bahawa dia bukannya belasahan," kata Sabki.

Terkandasnya Nur Izazi dalam saingan 10 meter air rifle menandakan perjalanannya di temasya itu berakhir. 

Bagaimanapun, dia tetap bangga dapat memberikan saingan kepada penembak terbaik Asia meskipun format pertandingan untuk Sukan Asia edisi kali ini sudah pun bertukar daripada 60 tembakan sepusingan berbanding terdahulu 40 tembakan.

"Saya berpuas hati dengan keputusan pada hari ini.

"Walaupun ini Sukan Asia pertama buat saya, saya akan menjadikan keputusan hari ini untuk menaikkan semangat untuk kejohanan akan datang," kata Nur Izazi.

Pingat emas acara 10 meter indvidu air rifle wanita dimenangi oleh Zhao Ruozhu, perak dimiliki Jung Eun-hea dari Korea Selatan dan gangsa milik wakil Mongolia, Nandinzaya Gankhuyag.

Sementara itu, seorang lagi penembak negara, Lutfi, masih mempunyai kesempatan terakhir apabila bakal beraksi dalam acara kegemarannya, 50 meter individu air rifle 3 posisi, esok.

Dalam saringan 10 meter indvidu air rifle, hari ini, Lutfi berada di kedudukan ke-28 dengan mengumpul 614.3 mata.

Emas dimenanngi Haoran Yang dari China, perak milik Deepak Kumar (India) dan gangsa diraih Shao-Chuan Lu (Taiwan).

"Aksi tetap sama. Saya nampak keperluan untuk menguatkan lagi mental ketika berhadapan dengan tekanan. 

"Ada masalah yang boleh diselesaikan dan ada yang tidak, sehubungan itu mental perlu kuat," kata Lutfi.

Advertisement

Must Watch Video