Skip to main content

Sukan Asia

Menembak: Penampilan Abraham harus dipuji

abraham-eng-wei-jin.jpg
Terpaksa berjauhan dengan senjata, penembak double trap negara, Abraham Eng Wei Jin, tetap mempunyai sebab yang boleh dibanggakan dalam penampilannya dalam Sukan Asia 2018 meskipun tersingkir di peringkat kelayakan di Lapang Sasar, Bandar Sukan Jakabaring, Palembang, hari ini.

Memandangkan Abraham masih berusia 16 tahun dan diklasifikasikan sebagai bawah umur, dia tidak boleh menyimpan senjatanya.

Sebaliknya, dia yang berpangkalan di Johor Bahru terpaksa merelakan senjatanya disimpan di bawah seliaan Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) di Subang Jaya, Selangor.

Di Palembang, Abraham tetap berupaya membidik catatan mata terbaik berbanding dua kejohanan besar yang disertainya sebelum ini.

Dalam Piala Dunia 2017, dia meraih 107 mata sementara Sukan Komanwel Gold Coast 2018, dia memperoleh 117 mata dan Sukan Asia edisi ini, dia mengumpul 124 mata untuk berada di kedudukan ke-18.

"Saya memandang rendah kemampuan sendiri kerana fikir tidak mampu menembak sebaik ini.

"Saya banyak melakukan catatan yang baik dan gembira mengenainya. 

"Dapat menyesuaikan diri dengan suasana lapangan sasar di sini juga menggembirakan saya, apatah lagi tembakan saya tidak berapa bagus menjelang temasya ini selain tidak berkesempatan untuk menjalani persiapan rapi. 

"Dengan prestasi yang dipamerkan hari ini serta peluang menembak di samping jaguh-jaguh dunia, ia sesuatu yang menarik," kata Abraham.

Emas acara itu dimenangi wakil India, Shardul Vihan, manakala perak dan gangsa masing-masing dimenangi Hyun-Woo Shin dari Korea Selatan dan Hamad Ali Al-Marr dari Qatar. 

Advertisement

Must Watch Video