Skip to main content

Menembak: Gandingan Malaysia sekadar di tempat ke-10

menembak_1.jpg
Langkah kiri ketika melakukan bidikan pertama membunuh peluang untuk gandingan negara mara ke final acara 10 meter air rifle berpasukan campuran dalam saingan Sukan Asia, hari ini.

Malaysia yang diwakili Mohamad Lutfi Othman dan Nur Izazi Rosli berentap dengan 21 negara lain dalam acara itu.

Hanya lima negara terbaik melayakkan diri ke final tetapi kesilapan daripada Lutfi memberi kesan kepada keputusan akhir buat pertaruhan Malaysia itu.

Selepas 40 tembakan, mereka menamatkan saingan di tempat ke-10 dengan catatan 820.5 mata tatkala lima negara yang meneruskan cabaran dalam final adalah Korea Selatan, India, Mongolia, China dan Taiwan.

"Saya tidak berpuas hati kerana melakukan kesilapan di peringkat permulaan," kata Lutfi.

"Saya juga tidak berpuas hati kerana prestasi yang dipamerkan tidak memberangsangkan. Saya tidak bersedia kerana masa yang tidak mencukupi, jadi ia melambatkan saya untuk mendapatkan tembakan yang baik," ujar gadis hari jadi, Izazi.

"Saya tetap menghargai kedudukan hari ini. Walaupun kesilapan dilakukan, kami masih mencuba untuk mendapatkan kedudukan yang lebih baik," tambah Lutfi.

Ironinya, Johnathan Wong dan Joscelyn Cheah juga terpaksa menerima nasib sama gagal menempatkan diri dalam kelompok lima terbaik ke final.

Lebih mengecewakan, mereka hanya dibezakan empat mata dengan pasukan kelima dalam klasifikasi itu, Kazakhstan, yang merekodkan 759 mata.

"Ia adalah satu keputusan yang mengecewakan. Saya telah cuba yang terbaik dan kami perlu memperbaiki lagi kelemahan untuk aksi akan datang," kata Johnathan.

Advertisement

Must Watch Video