Skip to main content

Sukan Asia

Menembak: Abraham alih tumpuan ke trap

abraham.jpg
Penembak muda negara, Abraham Eng Wei Jin, akan beralih cabaran kepada trap mulai tahun depan selepas acara kegemarannya, double trap, tidak lagi dipertandingkan dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Kejohanan Menembak Asia Tenggara (SEASA) pada Oktober depan akan menjadi medan terakhir buat Abraham bertanding dalam acara double trap.

Jurulatih kebangsaan, Eng Ching Boon, yang juga merupakan bapa kepada Abraham menjelaskan dia akan beri fokus kepada acara trap sepenuhnya selepas ini.

Beberapa kejohanan antarabangsa dalam usaha melayakkan diri secara automatik ke Tokyo 2020 serta kilauan pingat emas dalam Sukan SEA Filipina juga bakal menjadi sasaran utama Abraham.

"Dalam saingan Olimpik, tiada lagi double trap, jadi kami akan beralih ke trap selepas Sukan Asia. 

"Bermula sekarang sehingga tahun depan, kami akan menjalani latihan untuk trap dan diharapkan badan sukan dapat memberikan sokongan untuk program latihan dalam usaha mendapatkan kuota untuk saingan Olimpik," kata Ching Boon.

Sementara itu, Abraham berasa bertuah kerana pada usia 16 tahun, dia sudah melalui dua kejohanan temasya terbesar, Sukan Asia dan Komanwel.

Kini, dia berharap pengalaman beraksi dengan ramai penembak berkelas dunia akan membantunya mengecapi impian ke Tokyo 2020.

"Saya bernasib baik dapat beraksi dan ibu bapa saya juga memberikan bantuan. Ia membantu saya ketika Sukan Komanwel dan Asia.

"Saya rasa bertuah dapat beraksi kali ini," ujar Abraham.

Di Palembang, Abraham meraih kedudukan ke-18 keseluruhan selepas mencatat bidikan 124 mata.
 

Advertisement

Must Watch Video