Skip to main content

Sukan Asia

Mendayung: Khairuddin terlepas aksi pusingan akhir

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

khairr.jpg
Harapan untuk melihat wakil Malaysia dalam acara mendayung lebur selepas atlet negara, Muhammad Khairuddin Azwi, sekali lagi menamatkan saingan di tempat terakhir dalam pusingan repechage yang berlangsung di Pusat Mendayung dan Kayak, Kompleks Sukan Jakabaring, hari ini.

Aksi hari ini merupakan peluang kedua buat Khairuddin untuk layak ke pusingan akhir setelah tampil hambar ketika sesi kelayakan, kelmarin.

Tempoh rehat sehari diguna sebaik mungkin untuk membuat analisis prestasi selepas Khairuddin gagal beraksi dengan baik dalam peringkat kelayakan kerana menghadapi masalah teknikal.

Bermula di petak kelima dalam pusingan repechage kedua, Khairuddin bersaing dengan empat lagi peserta, masing-masing dari Korea Selatan, Kazakhstan, Arab Saudi dan Iran.

Namun, dia masih gagal memberi saingan selepas sekadar mencatatkan masa 8 minit 37.41 saat sementara lawan dari Korea Selatan, Kim Dong Yong, serta Vladislav Yakovlev dari Kazakhstan berjaya mara ke pusingan akhir.

"Saya rasa telah melakukan yang terbaik, mungkin peserta negara lain lebih bagus daripada saya. Saya cuma memiliki tempoh sebulan untuk melakukan persiapan ke Sukan Asia, jadi saya berpuas hati," katanya.

Bagaimanapun, Khairuddin masih layak untuk berentap dalam aksi final B, iaitu penentuan tempat ketujuh hingga 12 yang dijadualkan berlangsung lusa.

"Setakat ini, untuk perlumbaan kali kedua, saya berpuas hati memandangkan catatan masa lebih bagus berbanding perlumbaan sebelum ini."
 

Advertisement

Must Watch Video