Skip to main content

Sukan Asia

Memanah: Skuad compound hargai peluang penampilan sulung

fatin-memanah-compound.jpg
Atlet memanah compound negara, Fatin Nurfatehah Mat Salleh, percaya pengalaman serta pendedahan yang diraih dalam Sukan Asia Jakarta-Palembang dapat membantu mereka untuk mempelajari teknik pencabar yang lain bagi meningkatkan lagi prestasi.

Buat kali pertama, skuad memanah compound negara mendapat peluang beraksi di pentas Sukan Asia selepas tumpuan sebelum ini lebih banyak diberikan kepada bahagian recurve.

Nyata persembahan yang dipamerkan tidak mengecewakan apabila skuad compound berpasukan lelaki mara hingga ke separuh akhir sebelum kecundang kepada Korea Selatan.

Sementara itu, skuad wanita yang diwakili Fatin, Saritha Cham Nong serta Sazatul Nadhirah Zakaria terpaksa berpuas hati hanya ke suku akhir apabila kecundang kepada pasukan di ranking kedua dunia, Taiwan.

"Ini kali pertama skuad compound bersaing dalam Sukan Asia. 

"Saya sangat bangga dengan rakan sepasukan sebab kami mara ke suku akhir.

"Kami kalah kepada pauskan nombor dua, ia satu saingan yang sengit.

"Ini satu permulaan yang baik untuk skuad compound," kata Fatin.

Dalam pada itu, Fatin mengakui berasa lega menemui semula rentak untuk saingan berpasukan wanita selepas hampa dalam acara berpasukan campuran bersama Juwaidi Mazuki.

Gandingan negara itu berpeluang cerah untuk sekurang-kurangnya ke separuh akhir, namun tewas dengan perbezaan satu mata kepada Singapura di peringkat suku akhir pada Sabtu lalu. 

"Panahan kali ini prestasi saya agak bagus, saya ingin menebus kekecewaan dalam acara berpasukan.

"Kami sudah cuba yang terbaik tetapi tidak bernasib baik untuk pertemuan ini," katanya.

Advertisement

Must Watch Video