Skip to main content

Sukan Lain

Memanah Kebangsaan: Pulau Pinang dominasi acara compound

memanah2.jpg
Skuad Pulau Pinang mendominasi acara compound Kejohanan Memanah Kebangsaan 2019 apabila meraih emas dalam acara indvidu serta berpasukan lelaki dan wanita. 

Emas pertama kem Pulau Pinang disumbangkan oleh P. Kayalvhily yang memulakan langkah kanan apabila muncul juara kategori compound individu wanita. 

Menentang rakan sepasukan dalam saingan akhir, atlet berusia 20 tahun itu kekal tenang biarpun diekori rapat M. Pristiswary sebelum menamatkan perlawanan dengan 141 panahan. 

"Permainan agak bagus hari ini, cuma perlu bekerja keras sebab lawan rakan sepasukan," katanya di Kompleks Sukan Majlis Sukan Negara (MSN) Keramat, hari ini. 

Mengakui latihan dan sokongan jurulatih dan MSN Pulau Pinang banyak membantu aksinya hari ini, Kayalvhily menyasarkan kejohanan Terbuka Sarawak yang dijangka bulan depan sebagai medan memperkukuhkan aksinya dalam kejohanan berprestij.

"Setiap kejohanan ada kelebihannya dan hari ini, saya banyak belajar untuk memperbaiki lagi persembahan saya,"katanya.

Keceriaan kem compound wanita Pulau Pinang berterusan apabila unggul menewaskan Sarawak dalam aksi penentuan emas compound berpasukan. 

Trio yang dibarisi Pritiswary, Kayalvhily dan Nurin Sofiya Ahmad Shukor meraih emas selepas diberi saingan sengit sebelum dinobatkan juara dengan catatan 224 panahan.

Dalam saingan tersebut, trio Sarawak -- Aiza Natasya Aizuddin, Kong Ke Xin dan Natasha Mohd Shahruddin -- terpaksa akur apabila sekadar mencatat 215 panahan.

Jelas Kayalvhily, semangat berpasukan yang bagus banyak membantu mereka layak hingga ke pusingan akhir. 

"Sangat gembira kerana buat pertama kali, gandingan ini mara hingga ke final," katanya. 

Bagi kategori compound berpasukan lelaki, trio Mohd Syazwi Arif Sanizam Arif, Muhamad Faris Jamaludin dan Syed Imran Syed Ibrahim memastikan emas bagi Pulau Pinang. 

Trio tersebut mencatat 228 panahan, mengatasi  trio Sarawak, Hii Bee Chung, Ngu Gao Teck dan Terry Wei yang mencatat 220 panahan. 

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video