Skip to main content
ligasuper

Jom Undi Gol Terbaik Liga Super Sekarang!

Sukan Lain

Memanah Kebangsaan: Juara Para Dunia dikejutkan pemanah muda

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

s-suresh-memanah.jpg
Juara recurve para dunia, S. Suresh, tewas mengejut dalam penentuan pingat gangsa kepada pemanah muda Sarawak, Bryson Ting Tiew Ling, dalam Kejohanan Memanah Kebangsaan Ke-43 di Kompleks Sukan Majlis Sukan Negara (MSN) Keramat hari ini.

Suresh turun untuk mengembalikan reputasinya setelah tewas di peringkat separuh akhir semalam.

Bagaimanapun, dia diberikan tentangan sengit oleh Bryson dan kesilapan kecil memaksa Suresh berputih mata dengan tewas 4-6.

"Sangat tidak puas hati. Permainan saya banyak terganggu kerana gagal membaca tiupan angin," kata Suresh.

"Jadi saya perlu berusaha lebih lagi pada masa depan memandangkan ini kali pertama menyertai kejohanan kebangsaan.

"Sejak menang gelaran juara para dunia di Belanda awal bulan lalu, memang saya tak ada kejohanan lain. Ini sedikit membuatkan persembahan saya tidak berada di tahap sepatutnya."

Juara baru kebangsaan kategori recurve lelaki menyaksikan Tengku Wira Raja Yahya meraih emas setelah menumbangkan rakan sepasukan, Zainuddin Abdul Rashid dari pasukan Angkatan Tentera Malaysia, 9-8.

Sementara itu, bagi acara final recurve individu wanita, Supang Yahya menambah emas kedua kontinjen Sarawak selepas unggul mengetepikan Fatin Ezzatie Mohammad Noris dari Kedah 6-4.

"Ia merupakan aksi final yang mendebarkan. Fatin merupakan rakan sepasukan dalam skuad pelapis dan kami saling mengenali kebolehan masing-masing," kata Supang.

Advertisement

Must Watch Video