Skip to main content

Sukan SEA

Megat Zulkarnain bakal bertemu Megat Shahriman

megatz.jpg
Chef-de-mission (CDM) Sukan SEA Filipina, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, akan bersemuka dengan Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin, bagi memastikan larangan atlet perahu naga ke Sukan SEA dapat ditarik balik.

Segalanya akan dirungkai dalam mesyuarat teknikal Sukan SEA Filipina di pejabat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), esok.

Megat Zulkarnain mengambil maklumat laporan daripada kedua-dua belah pihak MASCA dan akan bersidang dengan panel pemilih yang lain untuk menentukan nasib atlet perahu naga, sama ada mereka akan tetap ke Filipina ataupun sebaliknya.

Dalam masa sama, beliau juga akan berjumpa dengan Megat Shahriman untuk menyelidik larangan yang dikeluarkan badan induk itu berpunca daripada isu peribadi ataupun kekangan kewangan.

"Jika kita sudah berasakan tiada peluang, jangan memberikan harapan kepada atlet yang telah membuat persiapan. Secara kesimpulan, saya agak terkejut dan perkara ini tidak seharusnya berlaku ketika kami dalam fasa akhir menyenaraikan atlet yang bakal ke Manila," katanya.

Isu membabitkan larangan atlet perahu naga oleh MASCA akan menjadi antara topik yang akan cuba diselesaikan selain penarikan diri dua acara utama oleh ratu pecut, Zaidatul Husniah Zulkifli, serta beberapa isu kecil melibatkan beberapa sukan yang masih bergelut untuk ke temasya dwitahunan itu.

Bagaimanapun, Megat Zulkarnain berasakan beberapa isu itu tidak akan menjejaskan persiapan keseluruhan kontinjen Malaysia menghadapi saingan di Manila bermula 30 November depan.

"Nasib baik apabila Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina (PHISGOC) telah melanjutkan tarikh dan perkara ini mengelak kami memiliki masalah dengan pihak penganjur dan kami akan berusaha untuk menyelesaikan setiap perkara secepat mungkin," katanya lagi.

Advertisement

Must Watch Video