SUKAN LAIN
Masters Terbuka Malaysia: Hardy, Nur Syazwani ungguli blok pertama
Hardy Rachmadian dari Indonesia tetap dengan sasarannya mahu melangkah ke final step-ladder kategori Masters lelaki, Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Malaysia Ke-40 esok, walaupun bakal menghadapi tentangan sengit daripada peserta Malaysia dan profesional.
Hardy mengungguli pusingan pertama bagi kategori terbuka lelaki selepas mempamerkan permainan cemerlang dengan 1,868 jatuhan pin di Sunway Mega Lanes, Bandar Sunway, hari ini.
"Aksi saya hari ini lebih bagus berbanding saingan kelayakan semalam... lebih nyaman di mana saya mendapat rentak yang lebih bagus hari ini. Saya sasar tiga terbaik terlebih dahulu sebelum muncul juara kerana persaingan sangat sengit.
Iklan
"Sengit itu datangnya daripada beberapa atlet profesional dan juga atlet Malaysia yang ternyata sangat bagus. Cabarannya agak berat," katanya kepada Bernama selepas selesai pusingan pertama itu.
Hardy yang menyertai kejohanan ini buat kali ketiga, berharap aksinya lebih cemerlang dan dapat meraih kejayaan di podium, sekali gus membanggakan negaranya.
Sementara itu, atlet elit negara, Nur Syazwani Sahar, pula mengungguli pusingan pertama bagi kategori terbuka wanita dengan 1,828 jatuhan pin untuk mara ke pusingan kedua esok.
Nur Syazwani, 20, mengakui dia mendapat rentak bermula dalam permainan keempat dengan membuat 299 jatuhan pin.
"Dalam pusingan kelayakan semalam, saya gagal ke pusingan kedua kerana saya berakhir di kedudukan kelima dan hanya tiga terbaik layak ke pusingan kedua. Jadi, hari ini saya buat sebaik mungkin untuk pastikan saya layak ke pusingan seterusnya.
"Penganjuran kali ini memang agak mencabar, tidak kira daripada rakan sepasukan ataupun atlet luar negara. Saya hanya dapat beraksi dengan sebaik mungkin untuk esok," katanya yang baru sahaja balik daripada Kejohanan Remaja Asia di Sarawak, minggu lalu.
Kedua-dua pemain itu terpaksa bermain dalam pusingan pertama selepas mereka gagal meraih tiket awal dalam pusingan kelayakan untuk mara ke pusingan kedua.
Sementara itu, dalam pusingan kelayakan semalam, hanya lapan peserta lelaki dan enam wanita layak ke pusingan kedua.
Empat atlet elit lelaki yang tersenarai ialah Noor Afizal Azizan, Syafiq Ridhwan Abdul Malik, Wan Muhammad Naqib Norazizan dan Ahmad Muaz Fishol manakala perserta antarabangsa terdiri daripada Sam Cooley (Australia), Wu Siu Hong (Hong Kong), Surasak Manuwong (Thailand) dan Ryan Leonard Lalisang (Indonesia).
Atlet elit wanita pula terdiri daripada Sin Li Jane, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman manakala tiga peserta antarabangsa yang layak ialah Kim Ji Su (Korea Selatan), Jermaine Seah dan Charlene Lim (Singapura).
Pusingan kedua esok akan menyaksikan 24 pemain lelaki dan 16 wanita beraksi untuk muncul tiga pemain terbaik bagi setiap kategori, untuk layak ke step-ladder.
Berikut adalah 16 pemain lelaki dan 10 wanita yang layak ke pusingan kedua selepas melepasi pusingan pertama hari ini.
Terbuka Lelaki Masters Final Pusingan Pertama
1. Hardy Rachmadian (INA) 1,868 pin
2. Alex Liew (MAS) 1,792
3. Timmy Tan (MAS) 1,757
4. Choi Ki Bong (KOR) 1,752
5. Sean Rash (USA) 1,725
6. Muhd Jaris Goh (SGP) 1,722
7. Johnathan Chan (MAS) 1,709
8. Timothy Tham (SGP) 1,695
9. Mervin Tan (PHI) 1,691
10. Jang Dong Chul (KOR) 1,690
11. Mohamed Al Saud (KSA) 1,684
12. Mohd Haziq Sahli (MAS) 1,669
13. Rafiq Ismail (MAS) 1,648
14. Kyle Troup (USA) 1,648
15. Muhd Hafiz Zainuddin (MAS) 1, 646
16. Dominic Barrett (ENG) 1,643
Terbuka Wanita Masters Final Pusingan Pertama
1. Nur Syazwani Sahar (MAS) 1,828
2. Sung Gyong Eun (KOR) 1,711
3. Shalin Zulkifli (MAS) 1,682
4. Kim Do Hee (KOR) 1,672
5. Hee Kar Yen (MAS) 1,671
6. Charmaine Chang (SGP) 1,649
7. Natasha Roslan (MAS) 1,638
8. Putty Armein (INA) 1,629
9. Veronica Dais de Souza (MO) 1,624
10. Gillian Lim (MAS) 1,618
-- BERNAMA
Must-Watch Video