Skip to main content

Hoki

Masalah lutut tiga tonggak cetus resah Oltmans

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

hoki-ccedera.jpg
Skuad hoki negara dilanda krisis kecederaan apabila tiga tonggak utama yang diketuai penyerang, Firhan Ashaari, terpaksa menjalani pembedahan lutut, sekali gus berdepan risiko terlepas aksi play-off kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020, November depan.

Firhan dan penjaga gol, Hairi Abd Rahman, mengalami kecederaan miniscus (lutut) ketika menjalani sesi latihan di Stadium Hoki, Bukit Jalil.

Turut ditimpa kecederaan lutut, pemain tengah, Md Haziq Shamsul, yang dinasihati supaya menjalani pembedahan lutut dalam masa terdekat.

Perkembangan itu menjadi tamparan hebat buat pengendali negara, Roelant Oltmans, yang sedang membentuk skuad terbaik untuk menamatkan kemarau penampilan Sukan Olimpik sejak 2000.

Kecederaan miniscus mengambil masa sekitar empat hingga lima bulan untuk pulih.

"Kedua-duanya ditimpa kecederaan lutut yang memerlukan pembedahan. 

"Setakat ini, pemeriksaan awal hanya mengenal pasti kecederaan mereka tetapi masih terlalu awal untuk mengulas sejauh mana tahap kecederaan.

"Mereka mungkin perlu berehat selama beberapa minggu atau mungkin memakan beberapa bulan," kata Oltmans. 

Pertahanan, Mohd Najib Abu Hassan, baru kembali ke pangkuan skuad negara selepas berehat lima bulan ekoran pembedahan kecederaan miniscus.

Malaysia dijadual mengadakan program jelajah Eropah bermula 22 Julai depan.

"Kami mempunyai enam minggu untuk membuat persiapan sebelum bertemu pasukan handalan dunia. 

"Ia satu peluang menarik untuk kami sebagai medan persiapan menghadapi play-off kelayakan Sukan Olimpik," katanya. 

 

Advertisement

Must Watch Video