Skip to main content

Sukan Lain

Masalah dalam MAKAF tidak gugat persiapan Sukan SEA, Olimpik

karate.jpg
Kemelut dalaman yang melanda Persekutuan Karate-Do Malaysia (MAKAF) tidak sedikitpun mengganggu fokus pengurus pasukan, V. Wrickrama Suriya, untuk mempersiapkan anak buahnya bagi menghadapi dua tugasan utama, iaitu Sukan SEA di Filipina, November depan dan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Sebelum ini, MAKAF dilanda kemelut apabila 12 ahli gabungan melancarkan undi tidak percaya terhadap badan induk itu dan bercadang untuk mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) di Ipoh, Perak pada 9 Julai depan.

Bagaimanapun, Suriya berkata kemelut itu bukan satu halangan baginya meneruskan pencarian atlet sehingga September depan bagi membawa skuad paling ampuh dalam saingan Sukan SEA nanti.

"Pencarian atlet masih ada lagi sehingga saya rasa sekitar Ogos atau September kerana mahu membawa sebuah pasukan yang kuat untuk Sukan SEA. Atlet itu juga akan digunakan sehingga tahun depan," katanya. 

Suriya juga menambah harapan atlet karate ke Tokyo 2020 bukan sahaja diletakkan ke atas Syakilla Salni Jefry Krisnan tetapi MAKAF juga sedang berusaha untuk melayakkan seorang lagi atlet, Madhuri Poovanesan, yang kini berada di ranking ke-88 dunia.

MAKAF sedang berusaha menghantar skuad karate menyertai sebanyak kejohanan yang mampu agar barisan atlet bersedia menghadapi dua tugasan utama mereka.
 

Advertisement

Must Watch Video