SUKAN SEA
Martin yakin skuad renang raih sasaran lima emas
Ketua jurulatih skuad renang negara, Chris Martin, optimis mampu memperoleh sasaran lima pingat emas yang ditetapkan Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) dalam Sukan SEA Ke-30 di Filipina dari 30 November hingga 11 Disember depan.
Jurulatih dari Amerika Syarikat (AS) itu, yang mempunyai 30 tahun pengalaman sebagai jurulatih, berkata dia telah mempunyai senarai perenang bagi sukan dwitahunan itu tetapi belum bersedia untuk mendedahkan nama-nama mereka kerana mahu memberi peluang kepada perenang lain untuk membuktikan kecekalan mereka.
“Saya sudah ada senarainya, terutama dalam kategori A (atlet ditaja sepenuhnya), tetapi saya tidak lagi boleh menyebut nama mereka kerana pihak pengurusan (ASUM) perlu melihat dahulu nama berkenaan, tetapi saya tahu siapa mempunyai peluang untuk menang pingat,” katanya kepada pemberita selepas lawatan chef-de-mission (CDM) Malaysia ke Sukan SEA Ke-30, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, semalam.
Iklan
Timbalannya, Nurul Huda Abdullah, legenda renang negara, juga hadir dalam lawatan itu.
Mengenai perancangan masa depan Welson Sim, Martin menyerahkannya kepada perenang berusia 22 tahun itu sama ada untuk berpindah terus ke Australia atau kerap terbang ke sana untuk terus terikat dengan Kelab Renang Vicente di mana dia akan berlatih bersama-sama juara 400m gaya bebas Olimpik dari Australia, Mack Horton, di bawah jurulatih, Craig Jackson.
"Berlatih di Australia sejak enam bulan lepas amat memberi manfaat kepada beliau (Sim) dan jika ingin meneruskan latihan di sana, saya menyokong sepenuhnya,” kata Martin.
Perenang legenda kebangsaan, Alex Lim, sebelum ini menasihati Welson agar mengkaji semula keutamaannya terhadap pertandingan yang akan disertainya susulan keputusan kurang memuaskan dalam Kejohanan Renang Dunia 2019 di Gwangju, Korea Selatan, bulan lalu.
Welson, yang juga perenang harapan utama negara dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020, menyertai beberapa pertandingan tahun ini, termasuk Terbuka Malaysia pada April dan Terbuka Singapura, Jun lalu, tetapi gagal menyerlah dalam Kejohanan Renang Dunia 2019 sehingga meningkatkan kebimbangan sama ada dia boleh layak ke Sukan Olimpik..
Sukan SEA Ke-30 mengetengahkan 56 jenis sukan dalam tiga kluster -- Manila, Subic dan Clark.
-- BERNAMA
Must-Watch Video