SUKAN LAIN
Manshahar sanggup pikul dua peranan penting
Ketua jurulatih skuad olahraga negara, Mohd Manshahar Abd Jalil, sanggup menggalas tugas tambahan sebagai pengendali skuad lompat bergalah kebangsaan kerana masa terlalu suntuk untuk mengubah teknik anak buahnya menjelang Sukan SEA Filipina, dari 30 November hingga 11 Disember depan.
Pengendali berusia 59 tahun berkenaan tidak akan meninggalkan anak buahnya dan sanggup memikul dua tugas serentak.
Malah, jika perubahan jurulatih berlaku, dibimbangi atlet lompat bergalah negara terpaksa menukar teknik lompatan yang akan mengambil masa lama untuk menyesuaikan diri.
Iklan
"Buat masa ini, biarlah saya galas dua tanggungjawab serentak sebagai ketua jurulatih dan jurulatih lompat galah.
"Kalau tugas ini diserahkan kepada jurulatih yang lain, saya bimbang ia boleh menjejaskan (persiapan) atlet negara," katanya.
Sementara itu, atletnya, Chuah Yu Tian, berharap Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) akan memberi ruang kepada atlet untuk mengetengahkan pandangan sebelum langkah lebih lanjut diperkenalkan.
"Kalau jadual cikgu Manshahar terlalu padat ataupun KOM mempunyai perancangan lain untuk skuad lompat bergalah, lebih eloklah ia dibincangkan dengan atlet terlebih dahulu," katanya.
Manshahar yang memiliki pengalaman 37 tahun sebagai jurulatih, berjaya melahirkan beberapa atlet handalan negara seperti Roslinda Samsu dan Iskandar Alwi.
Malah, pelantikannya mendapat sokongan jurulatih serta atlet negara.
"Beliau adalah pilihan terbaik.
"Kami perlukan seorang jurulatih yang sentiasa ada di padang dan boleh memberi maklum balas kepada barisan jurulatih," kata jurulatih lompat jauh dan lompat kijang negara, Firdaus Salim.
Pelari pecut negara, Siti Zubaidah Adabi, pula menganggap Manshahar berkelayakan untuk menjawat peranan ketua jurulatih.
"Pelantikannya akan membolehkan pengurusan bertindak dengan lebih cepat," katanya.
Must-Watch Video