Penurunan sesaran enjin daripada 1000cc kepada 850cc dalam kategori perdana, MotoGP, sedikit sebanyak bakal menyaksikan kekurangan momentum aksi yang bertenaga dalam saingan perlumbaan seperti kelazimannya sebelum ini.
Mujur perlaksanaan peraturan baru itu hanya akan dikuatkuasakan selepas 2026 dengan penelitian dan juga kajian terperinci masih lagi dilakukan.
Perubahan itu selaras dengan hasrat untuk menjadikan acara perlumbaan motosikal paling elit di dunia itu agar lebih selamat kepada pelumba selain mengurangkan kadar pencemaraan bunyi dan sebagainya.
Menurut komisioner MotoGP, spesifikasi enjin yang diubah itu sebenarnya akan turut menyaksikan penjimatan kos kepada semua pengeluar jentera berbanding sebelumnya.
Malah badan induk permotoran dunia FIM juga tidak membenarkan sebarang penambahan ataupun pembangunan enjin setiap jentera kepada semua pengeluar dalam tempoh dua tahun sebelum peraturan baru itu dilaksanakan pada 2027.
Antara yang awal diberi amaran untuk tidak membangunkan sebarang komponen membabitkan enjin adalah pasukan Ducati, yang ketika ini menguasai kedudukan teratas samada pengeluar dan juga pelumba.
Ia memandangkan pasukan itu antara yang paling tinggi melaburkan sejumlah modal yang besar untuk pembangunan enjin dan juga teknologi yang ada dalam mengekalkan penguasaan mereka dalam siri perlumbaan bagi tahun 2024.
Justeru tentunya ia bakal menimbulkan tanda tanya sama ada Ducati akan mampu mengekalkan dominasi mereka atau tidak selepas perubahan enjin kepada 850cc itu dilaksanakan pada 2027 nanti.
King Hisyam
Fri Nov 08 2024