Skip to main content

Sukan Lain

Malaysia raih suntikan moral

ragbi2.jpg
Skuad ragbi 15s negara memperoleh kemenangan moral sebelum memulakan kempen Kejohanan Ragbi Asia (ARC) 18 Mei ini apabila menumbangkan Sri Lanka dalam perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Malaysia turun dengan kehadiran tonggak utama, K. Dineshwaran, yang diberikan tugas sebagai kapten untuk memimpin skuad Bunga Raya Kebangsaan itu dalam mencatat kemenangan bagi memperbaiki kedudukan ranking.

Bagaimanapun, Sri Lanka yang berada di ranking ke-43 dunia, tidak memberikan laluan mudah apabila mendahului Malaysia seawal minit keenam perlawanan menerusi dua penalti yang disempurnakan Samuel Mduwantha.

Namun, baki 34 minit seterusnya milik Malaysia, bermula dengan conversion yang disempurnakan Fairuz Rahman pada minit ke-16 untuk merapatkan kedudukan menjadi 3-6.

Mark Lee dan Etonnia Saukuru seterusnya menjadi penyumbang mata buat Malaysia menerusi try manakala Amirul Aqil Kamsol mudah untuk menyempurnakan dua conversion disusuli Fairuz Rahman untuk menutup babak pertama dengan keputusan 24-6.

Sri Lanka kembali menyusun permainan dalam babak kedua dan memperoleh dua penalti conversion untuk merapatkan jurang menjadi 24-12.

Saukuru dan Amirul Aqil cuba menjarakkan mata menjadi 31-12 selepas menyempurnakan try dan conversion pada minit ke-65. 

Sri Lanka mempamer kebangkitan dengan mengutip mata menjadi 31-26, namun ia belum cukup untuk menghalang Malaysia melakar kemenangan.

"Kami bermula perlahan tetapi selepas menemui sentuhan, segalanya memihak Malaysia dan berjaya meraih kemenangan," kata jurulatih negara, Bradley Mika.

"Kami akan menilai semua persembahan dalam perlawanan ini, terdapat ruang yang perlu diperbaiki tetapi kami menikmati saingan berdepan Malaysia," kata jurulatih Sri Lanka, Matt Lee.
 

Advertisement

Must Watch Video