SUKAN LAIN
Malaysia bawa dua misi ke Jakarta
Skuad ragbi tujuh sepasukan negara akan berkunjung ke Jakarta, Jumaat ini dengan misi serampang dua mata, bukan sahaja merisik kekuatan pasukan serantau menjelang Sukan SEA 2019 tetapi mahu memulihkan reputasi naik semula ke Divisyen Satu Asia.
Persembahan mengecewakan musim lalu meletakkan mereka menduduki tangga kelapan dan tercorot dalam Divisyen Satu yang turut dikenali sebagai saingan Siri Ragbi Tujuh Sepasukan Asia.
Biarpun terpaksa turun Divisyen Dua, beraksi dalam saingan Trofi Ragbi Tujuh Sepasukan Asia, ketua jurulatih, Mohd Saizul Hafifi Mohd Nor, melihat ia daripada sudut positif untuk menghadapi saingan Sukan SEA penghujung tahun ini.
Iklan
Daripada 12 pasukan yang bersaing, lima pasukan merupakan wakil dari rantau Asia Tenggara yang terdiri daripada Brunei, Laos, Thailand, Indonesia dan Singapura.
"Kami harap tahun ini dapat kembali ke Divisyen Satu dengan memenangi Trofi Asia. Bila berada dalam Divisyen Satu, kami akan bersaing dengan negara hebat Asia seperti Jepun, Hong Kong dan Korea Selatan. Jadi, bagi saya ia satu pendedahan baik buat pasukan," katanya.
Hanya 12 pemain akan dibawa ke Jakarta Jumaat ini, namun pengendali itu menegaskan ia tidak bermakna baki pemain yang tidak dipilih tidak berpeluang mewakili negara ke Filipina, November depan.
"Pasukan ini masih belum dimuktamadkan. Masa masih panjang dan kami takut akan ada kecederaan. Kami akan cuba cari yang terbaik."
Must-Watch Video