Skip to main content

Permotoran

Luqman sandaran Modenas Racing Team

shz_1033.jpg
Pengurus pasukan Modenas Racing Team, Razali Ahmad, berharap agar pelumbanya, Luqman Shakiemi Hakim, dapat terus memberi aksi terbaik dan layak ke pusingan Shootout kelas CP115 dalam pusingan keempat Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2018 di Temerloh, Pahang, Sabtu dan Ahad ini.

Luqman secara konsisten berjaya memacu jentera Modenas ke kelompok 10 pelumba terbaik pusingan kelayakan sepanjang dua pusingan lalu, yang merupakan antara pencapaian terbaik pasukan sejak musim 2017.

“Sebagai pasukan tunggal yang menggunakan jentera Modenas, bukan mudah untuk kami menempatkan diri di kelompok hadapan, jadi prestasi Luqman ini cukup baik dan merupakan sesuatu yang positif kepada kami sepasukan,” ujar Razali.

Dalam masa sama, Razali turut mengingatkan seluruh ahli pasukan untuk terus berusaha bagi mendapatkan pelarasan terbaik dan konsisten serta mampu bertahan sehingga tamat perlumbaan akhir.

“Prestasi yang ditunjukkan Luqman menunjukkan pasukan kami berada di landasan yang tepat. Ujian dan pelbagai jenis pelarasan yang kami lakukan mendatangkan kesan positif.

"Namun, masih terdapat banyak kelemahan, terutama selepas Luqman gagal menamatkan perlumbaan akhir dalam kedua-dua pusingan lalu.

“Kami akan terus melakukan ujian demi ujian untuk bersaing di kelompok depan. Selain Luqman, saya berharap pelumba-pelumba lain juga mampu menempatkan diri ke sesi kelayakan Shootout dan bersaing dalam kelompok 10 pelumba terbaik selepas ini, termasuk dalam kategori Wira KBS.”

Advertisement

Must Watch Video