Skip to main content

Sukan SEA

Luncur ombak: Bali jadi medan persiapan terakhir

luncur.jpg
Pusat pelancongan terkemuka di Indonesia, Bali, bakal menjadi destinasi persiapan terakhir pasukan luncur ombak negara menjelang Sukan SEA Filipina dari 30 November hingga 11 Disember depan.

Menurut Persatuan Luncur Ombak Malaysia (PLOM), Bali menjadi pilihan kerana ketiadaan ombak yang sesuai di pusat latihan di Cherating, Pahang sehingga Monsun Timur Laut yang lazimnya bermula pada bulan November.

Pengurus pasukan, Muhammad Faisal Daud, berkata menghantar peluncur negara menyertai kejohanan di luar negara juga penting untuk mendedahkan mereka dengan tekanan dan intensiti pertandingan ketika kejohanan apabila luncur ombak dipertandingkan buat kali pertama dalam temasya dwitahunan itu.

“Luncur ombak ini merupakan sukan yang bergantung sepenuhnya kepada ombak,.Ombak di Malaysia hanya berlaku pada bulan Julai dan November hingga Februari. Selepas memulakan latihan sejak awal tahun ini, kami banyak menghantar atlet ke luar negara dan fokus pada latihan kecergasan di gimnasium.

“Peluncur kami sedang menunjukkan peningkatan yang baik dan mampu bersaing dengan pencabar lain. Kami akan berhadapan dengan alam semula jadi, jadi kami kena bersedia untuk segala kemungkinan,” katanya dalam sidang media Team Malaysia di Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil, hari ini.

Beliau berkata Malaysia akan menghantar lima peluncur dalam tiga kategori, iaitu short board lelaki dan wanita serta long board lelaki dengan mengharapkan pingat dalam setiap kategori itu di mana Muhammad Didaqt Mussaddiq dan Mohd Nazrin Nasruddin diletakkan sebagai prospek utama.

Sebagai persediaan, barisan peluncur itu telah menyertai beberapa siri latihan dan pertandingan seperti Tioman Surf Festival selain pendedahan di Thailand, Indonesia, India serta Sri Lanka dengan bantuan beberapa organisasi.

Sementara itu, Mohd Nazrin yang telah menjalani latihan di Bali, Phuket (Thailand) dan Chennai (India), sedang dalam usaha meningkatkan kecergasan dan stamina menjelang Sukan SEA.

Dia yang terlibat 15 tahun dalam luncur ombak apabila meminati sukan itu sejak berumur 10 tahun turut bersedia dengan keadaan ombak ‘beach break’ di Monalisa Pt. - Little Surfmaid - Kahuna, San Juan La Union, Filipina.

“Ombak di venue lebih kurang macam Malaysia juga. Tak besar, tak kecil, jadi boleh biasakan diri. Beach break merupakan ombak yang datang dari kanan, jadi kami surf backside. Kami sudah berlatih untuk itu,” katanya.

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video