Skip to main content

Sukan Lain

LTdL: Walscheid idam raih lebih banyak podium

richard.jpg
Selepas mengungguli perlumbaan Kriterium Antarabangsa Kota Kinabalu, iaitu pembuka tirai Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 hari ini, pelumba Jerman, Maximilian Richard Walscheid, semakin teruja untuk meraih lebih kejayaan dalam edisi kali ini.

Pelumba berusia 26 tahun yang mewakili pasukan Jelajah Dunia, NTT Pro Cycling Team, itu muncul pelumba pertama melepasi garisan penamat dalam kumpulan besar selepas melengkapkan sembilan pusingan perlumbaan yang berlangsung di sekitar bandar raya Kota Kinabalu.

Namun, Walscheid mendedahkan kejayaan hari ini bukan diraih dengan mudah kerana dia menghadapi saingan yang agak sengit daripada pelumba pakar pecut daripada pasukan profesional dunia lain berikutan laluan yang landai. 

"Ia sesuatu yang sungguh hebat untuk meraih kejayaan pada awal musim dan semua bekerja keras dalam satu pasukan, saya berbangga dengan pencapaian ini.

“Tekanan amat dirasai sebelum perlumbaan peringkat pertama tapi kami berada dalam keadaan yang baik dan berharap dapat meneruskan kejayaan dalam perlumbaan esok,” katanya.

Pelumba negara, Mohd Harrif Saleh, daripada TSG Cycling Team dan pelumba Australia, Black Quick, daripada St George Continental Cycling Team masing-masing menamatkan perlumbaan di tempat kedua dan ketiga.

Ketua pegawai perlumbaan mengisytiharkan 10 pelumba terbaik yang melepasi garisan penamat dalam kelompok besar dengan catatan masa 1 jam 32 minit  01 saat.

Perlumbaan peringkat pertama esok akan membabitkan jarak sejauh 96.2 kilometer sekitar bandar raya Kuching dengan tiga zon pecutan di Sejingkat, Kuching dan Third Passage.

LTdL 2020 menyaksikan Borneo kembali dalam senarai laluan perlumbaan selepas 23 tahun.

-- BERNAMA


Imej: LTdL

Advertisement

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found