SUKAN LAIN
LTdL: Terengganu Polygon Cycling menangi dua jersi
Pasukan Terengganu Polygon Cycling berjaya memenangi dua jersi di perlumbaan basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 apabila Nur Aiman Zariff dan Sainbayaryn Jambaljamts masing-masing mengekalkan jersi merah untuk raja bukit dan jersi putih untuk pelumba terbaik Asia.
Lebih manis, Aiman berjaya mengekalkan gelaran raja bukit yang dimenanginya bersama pasukan Sapura Cycling (TSC) pada tahun 2020.
Jersi hijau untuk raja pecut milik pelumba pasukan Uno-X Pro dari Norway manakala Ivan Sosa dari pasukan Movistar mengekalkan jersi kuning dari peringkat ketiga di Genting untuk muncul juara keseluruhan dalam perlumbaan LTdL edisi ke-26.
Iklan
Perlumbaan peringkat terakhir bermula dengan enam pelumba melakukan breakaway daripada peloton selepas hanya 15 kilometer perlumbaan bermula.
Mereka adalah Hogo Toumire dari Cofidis, Thomas de Gendt dari Lotto Soudal, Jason Osborne dari Alpecin Deucenninck, Anatoliy Budyak dari TSG, Alex Molenaar dari Burgos BH dan Cameron Scott dari Ara Pro Racing Sunshine Coast.
Meskipun sudah mengharungi tujuh peringkat, pelumba-pelumba di hadapan masih lagi gagah mencari mata dan kemenangan di zon pecutan dan bukit dengan purata kelajuan mereka mencecah 51 kilometer sejam pada jam pertama perlumbaan.
Jarak masa di antara enam pendahulu dan peloton mencecah 1 minit 50 saat pada kilometer 60 dengan pasukan EF Easypost dan Movistar mengetuai peloton dalam usaha mereka merapatkan jurang.
Molenaar, Osborne dan Toumire berjaya meloloskan diri mereka daripada tiga lagi pendahulu dan membuka jarak sebanyak 45 saat di hadapan ketika saingan berbbaki 12 kilometer hingga ke garisan tamat.
Molenaar dan Osborne berjaya meninggalkan Toumire dengan 7 kilometer sebelum tamat dan perlumbaan akan ditentukan dengan pecutan dua orang pelumba.
Walaupun Osborne telah memberikan yang terbaik untuk memberikan kemenangan keempat buat pasukan Alpecin Deceuninck, dia tidak dapat menyaingi kepantasan Molenaar pada saat akhir yang menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 2 jam 25 minit dan 37 saat.
Must-Watch Video