Skip to main content

Sukan Lain

LTdL: Sapura azam kekal momentum di peringkat kelima

benjamin-dyball.jpg
Pasukan tempatan, Team Sapura Cycling (TSC), menyimpan tenaga ketika mengharungi peringkat kelima Le Tour de langkawi (LTd) 2019 selepas mengerah kudrat mencapai misi menakluki Genting Highlands, semalam.

Saingan peringkat kelima hari ini membabitkan laluan Tanjung Malim-Taiping yang menawarkan tiga zon pecutan dan satu zon pendakian.

"Perlumbaan ini boleh dikatakan membabitkan laluan yang panjang, iaitu sejauh 200.1km. 

"Kebiasaannya selepas zon pecut, tahap prestasi pelumba secara keseluruhannya akan menurun. Bagaimanapun, kami dianggotai enam pelumba yang kuat. 

"Mereka masih dalam prestasi terbaik dan perancangan kami hari ini adalah untuk menguasai perlumbaan dari awal sehingga habis," jelas pengurus Sapura, Sayuti Zahit. 

Benjamin Dyball, yang menawan Genting Highlands semalam untuk meraih jersi kuning dan pendahulu keseluruhan, kini berkelebihan 50 saat. 

Begitupun, Sapura tetap dengan perancangan asal dalam misi mereka untuk muncul juara keseluruhan. 

"Hari ini adalah hari yang penting. Ia membabitkan laluan yang jauh dan macam-macam boleh berlaku. 

"Kami yakin dengan kemampuan pelumba dan kami mahu pertahankan jersi ini sampai peringkat kelapan," tambahnya.

Namun, Sayuti meramalkan kedudukan Muhamad Zawawi Azman semakin sukar untuk merebut jersi putih selaku pelumba terbaik Asia. 

"Kebiasaannya selepas zon pecut, pelumba pendaki akan mengambil masa selama 2-3 hari untuk pulih.

"Sukar buat Zawawi untuk merampas semula jersi putih kerana jurang masa yang jauh.

"Tetapi, dalam perlumbaan macam-macam boleh berlaku dan kami akan terus berusaha memburu jersi putih," katanya. 

Advertisement

Must Watch Video