Skip to main content

Sukan Lain

LTdL: Percubaan kedua McCabe buahkan hasil

ltdl-stage-3.jpg
Percubaan kali kedua pelumba Flyod Pro Cycling, Travis McCabe, dalam Le Tour de Langkawi (LTdL) memberikan kejayaan bermakna selepas dia menjuarai pelumbaan peringkat ketiga dari Muar ke Putrajaya dengan merampas dua jersi utama, hari ini.

Ia merupakan penampilan kedua Travis dalam LTdL selepas hampa tanpa sebarang kejayaan dalam edisi 2017.

Bagaimanapun, percaturannya dan rakan sepasukan membuahkan hasil, terutama dengan melakukan pecutan pada kilometer terakhir menuju ke Putrajaya yang menyaksikan dia menewaskan beberapa pencabar utama seperti Matteo Pelucchi, Andrea Guardini dan Harrif Salleh.

Lebih manis, dia turut merampas jersi kuning selaku pendahulu keseluruhan dan jersi hijau (raja pecut) yang sebelum ini menjadi milik Marcus Culley daripada Team Sapura Cycling (TSC)

"Mengawal perlumbaan, mengambil selekoh dengan lebih pantas berbanding pelumba lain. Kami amat-amat berkeyakinan dengan tayar kami dan ia membantu kami menjarakkan kedudukan.

"Perlumbaan semakin sengit di penghujung dan semua pelumba memberikan pecutan terbaik mereka dan saya gembira untuk menamatkan perlumbaan dengan catatan yang hebat," katanya

Buat Harrif pula, dia terpaksa akur untuk tidak dapat mengulangi pencapaian menaiki podium seperti peringkat sebelumnya.

Bagaimanapun, dia dan rakan sepasukannya kini lebih banyak menyimpan tenaga memandangkan cabaran peringkat keempat dari Shah Alam ke Genting Highlands esok akan menjadi lebih getir dengan misi menawan puncak itu.

"Peringkat kelima hingga kelapan lebih memudahkan pelumba pecut kerana laluannya tidak seteruk peringkat pertama dan kedua.

"Saya akan mencuba untuk mendapatkan podium dalam peringkat yang akan datang.

"Saya hanya terlewat sedikit untuk berada di kedudukan podium dan jika saya melakukan lonjakan yang lebih baik, saya mungkin dapat memintas Guardini," katanya.

Advertisement

Must Watch Video