SUKAN LAIN
LTdL: Perak adakan sambutan khas
Perak akan mengadakan sambutan khas bagi memeriahkan perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019 di peringkat negeri itu, Rabu depan.
Pengerusi Jawatankuasa Sukan Belia dan Pembangunan Modal Insan Negeri Perak, Howard Lee Chuan How, berkata Perak akan menganjurkan perlumbaan peringkat kelima dari Tanjung Malim ke Taiping.
"Ia acara besar, peringkat antarabangsa yang disertai pelumba profesional.
Iklan
"Sudah tentu kami akan mengadakan sambutan khas sempena perlumbaan sejauh 200 kilometer itu bagi memeriahkan LTdL kali ini.
"Saya menjangkakan 20,000 orang akan terbabit nanti. Taiping akan sesak pada hari itu," katanya.
Menurut Howard, perlumbaan itu akan bermula di Proton City dan berakhir di Dataran Warisan, Taiping.
Pelumba akan melalui jalan lama Tanjong Malim-Taiping yang membawa mereka melalui Behrang, Slim River, Trolak, Sungkai, Bidor, Temoh, Jeram, Gopeng, Simpang Pulai, Ipoh, Tasik, Chemor, Sungai Siput, Kuala Kangsar, Changkat Jering, Padang Rengas, Simpang dan Taiping.
LTdL yang meliputi jarak keseluruhan sejauh 1,225.8 kilometer akan bermula Sabtu ini.
Peringkat pertama bermula dari KLCC ke Tampin (176.9km). Ia diikuti perlumbaan Senawang-Melaka (peringkat 2); Muar-Putrajaya (peringkat 3); Shah Alam-Genting Hinglands (peringkat 4); Tanjung Malim-Taiping (peringkat 5); Bagan-Alor Setar (peringkat 6); Pantai Cenang- Pulau Langkawi (peringkat 7) dan berakhir di Dataran Lang-Kuah Loop (peringkat 8).
Sebanyak 22 pasukan akan mengambil bahagian dengan Malaysia diwakili Team Sapura Cycling (TSC), Terengganu Cycling Team (TSG) dan skuad kebangsaan.
Must-Watch Video