Skip to main content

Sukan Lain

LTdL: Penarikan diri dua pasukan tidak gugat kerancakan perlumbaan

ketua-pegawai-operasi-ltdl,-shahaizereen-a-hamid.jpg
Penganjur Le Tour de Langkawi (LTdL), Human Voyage, memberi jaminan bahawa saingan tahun ini tetap rancak di sebalik penarikan diri dua pasukan dari China selain ketiadaan ikon Mr Langkawi, Andrea Guardini, untuk sambutan perlumbaan jubli perak perlumbaan itu.

Terbaru, pasukan Giant Cycling Team turut menarik diri dua hari lalu susulan wabak koronavirus yang sedang tular di China. 

Sebelum ini, Heng Xiang Cycling Team turut mengesahkan tidak akan bersaing atas alasan sama.

Ini menyaksikan pasukan bertanding untuk edisi tahun ini tinggal 21 pasukan dengan pihak penganjur tidak sempat untuk mendapatkan pengganti bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan.

"Sebelum ini, kami mempunyai 23 pasukan yang akan terlibat tetapi dua telah menarik diri.

"Pihak penganjur komited untuk meneruskan perlumbaan ini," kata Ketua Pegawai Operasi LTdL, Shahaizereen A. Hamid, menjelang perlumbaan kriterium LTdL di Kota Kinabalu, Sabah, esok.

Saingan tahun ini turut hilang seri apabila Guardini turut tidak akan beraksi biarpun pasukannya, Bardiani CSF dari Itali itu sudah tiba ke tanah air.

Bagaimanapun, senarai pelumba yang mengambil bahagian dalam edisi itu juga bukan calang-calang apabila menampilkan kelibat bekas pemenang peringkat bukit Tour de France, Pierre Rolland, serta pelumba sensasi Afrika Selatan, Louis Meintjes.

"LTdL merupakan sebahagian daripada pemanas badan untuk saya menghadapi Tour de France.

"Kami perlu bina keyakinan dan ia penting. 

"Adalah menarik untuk memulakan musim ini lebih awal menerusi perlumbaan seperti ini,” kata Meintjes.



Editor: Shaiful Shamsudin 
 

Advertisement

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found