Skip to main content

Sukan Lain

LTdL: Misi skuad kebangsaan hidupkan peluang

anuar-manan.jpg
Misi hidup mati skuad kebangsaan menjelang peringkat keempat Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 yang akan berakhir di puncak Genting Highlands esok apabila ia menjadi laluan tertinggi yang akan menentukan hala tuju setiap pasukan untuk baki perlumbaan.

Tatkala dua pasukan tempatan, Terengganu Cycling Team (TSG) dan Team Sapura Cycling (TSC), sudah pun mendapat beberapa keputusan positif, khususnya TSC yang menaiki beberapa podium, namun skuad kebangsaan pula masih lagi bergelut.

Pencapaian terbaik mereka adalah dalam peringkat kedua dari Kuala Terengganu ke Kerteh semalam yang menyaksikan anak buah Yusof Abd Nasir itu merakamkan gelaran pasukan terbaik Asia.

Secara realistiknya, skuad negara mahu cuba merampas gelaran itu berikutan terlepas untuk mempertahankan gelaran berkenaan kepada pasukan Thailand dalam peringkat ketiga dari Temerloh ke Kuala Lumpur hari ini.

"Kami akan saling bekerjasama di peringkat pendakian. 

"Saya mungkin perlu membantu pasukan sebelum zon pendakian supaya Sofian Nabil Omar Mohd Bakri dan Nik Mohd Azwan Zulkifli mendapatkan rehat yang cukup dalam usaha meraih keputusan terbaik," kata pelumba pasukan Malaysia, Anuar Manan.

Menjelang saingan peringkat keempat yang akan berakhir di Genting Highlands itu, pasukan kebangsaan akan mempertaruhkan kudrat pakar pendaki yang ditunjangi Nik Mohd Azwan dan Sofian Nabil Omar bagi memastikan jarak masa tidak ketinggalan jauh dalam usaha memburu gelaran pasukan terbaik Asia keseluruhan.

"Kami perlu kerahkan kudrat esok.

"Kami tidak akan simpan tenaga kerana ia akan menjadi peluang terakhir buat kami mendekatkan catatan masa," kata Sofian Nabil.



Editor: Shaiful Shamsudin
 

Advertisement

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found