Skip to main content

Sukan Lain

LTdL: Latihan di pergunungan untungkan Fedorov

fedorov_1.jpg
Pelumba muda Kazakhstan, Yevgeniy Fedorov, meraih keputusan sensasi apabila menjuarai peringkat pertama jelajah Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 di Padang Merdeka, Kuching hari ini.

Pakar pendakian berusia 19 tahun daripada pasukan Vino-Astana Motors itu melakukan pecutan pada jarak 500 meter ke garisan penamat untuk menepis cabaran juara ujian masa individu Sukan SEA 2019, Thurakit Boonratanathankorn dari Thailand.

Fedorov menamatkan saingan sejauh 85.6 kilometer di sekitar bandar raya Kuching itu dengan catatan 1 jam 51 minit 01 saat, Thurakit daripada pasukan Thailand Continental Cycling Team di tempat kedua (+0.03s) manakala pelumba Team Sapura Cycling (TSC), Ahmet Orken, melengkapkan podium dengan masa 1:52.18s.

Kemenangan itu membolehkan jaguh Asia bawah 23 tahun, Fedorov, dalam acara ujian masa individu, menyarung tiga jersi -- kuning, selaku pendahulu keseluruhan, hijau (raja pecut) dan putih selaku pelumba terbaik Asia.

Jersi merah (raja bukit) menjadi milik Matteo Pelucchi daripada pasukan Bardiani CSF Faizane Cycling Team.

"Di Kazakhstan, saya biasa berlatih di kawasan pergunungan dan tidak menjangka menang di laluan landai.

"Ini adalah satu kejutan, jadi saya bangga dengan keputusan ini untuk pasukan,"  katanya dalam sidang media selepas perlumbaan itu.

Sementara itu, Thurakit menyifatkan kedudukan podium itu merupakan pencapaian terbesar sejak melakukan penampilan sulung pada edisi 2010.

"Saya berharap untuk mencapai satu lagi keputusan positif dalam pelumbaan esok," kata pelumba berusia 30 tahun itu yang pernah bersaing pada edisi 2010, 2018 dan 2019.

Peringkat kedua dari Kuala Terengganu ke Kerteh sejauh 175.5km esok , iaitu laluan paling panjang pada edisi kali ini, menampilkan tiga zon pecut di Chendering, Rantau Abang dan Bandar Al-Muktafi Billah Shah.

-- BERNAMA

Imej: LTdL

Advertisement

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found