Skip to main content

Sukan Lain

LTdL: Kejayaan Rivera bayangi perubahan jersi kuning

kevin-rivera.jpg
Perlumbaan penuh mencabar disaksikan di puncak Genting Highlands hari ini yang merupakan laluan tertinggi dalam Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 sambil pasukan tempatan mencabar podium di sebalik pelumba kelahiran Costa Rica, Kevin Rivera, dinobatkan sebagai juara peringkat keempat itu.

Seramai 120 pelumba dengan membabitkan 21 pasukan memulakan kayuhan dari Putrajaya ke Genting Highlands itu dengan jarak perlumbaan sejauh 156.1km.

Asakan awal menyaksikan 14 pelumba berada di peloton depan dengan pelumba Team Sapura Cycling (TSC), Nur Aiman Zhariff, menjadi satu-satunya pelumba tempatan dalam kumpulan itu.

Pelumba Ara Pro Cycling Racing Sunshine Coast, Taj Jones, mempamerkan kayuhan bertenaga untuk menguasai tiga zon pecutan di Segambut, Serendah dan Batang Kali.

Di zon pendakian pula, tiga daripada lima lokasi yang ditawarkan dipegang Nur Aiman, iaitu di Ampang, Selayang dan Rawang tatkala laluan Tekali menjadi milik Rylee Field manakala pelumba Androni Catolli Sidermec, Rivera, menawan puncak Genting Highlands. 

Wakil pasukan tempatan tidak mengecewakan dengan Danilo Celano (TSC) meraih tempat kedua, disusuli pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Artem Ovechkin.

Jersi kuning selaku pendahulu keseluruhan turut bertukar milik apabila Celano merampasnya daripada Fedorov Yevgeniy dengan kelebihan 30 saat untuk pelumba Kazakhstan itu berpuas hati dengan jersi putih sebagai pelumba terbaik Asia.

Jersi hijau bagi gelaran raja pecut turut bertukar tangan apabila menjadi milik Jones sementara Nur Aiman kekal dengan status raja bukit.

"Perlumbaan yang cukup sukar pada hari ini ekoran perubahan cuaca.

"Namun, saya gembira dapat menjadi pelumba pertama yang melintasi garisan penamat," kata Rivera.

 

Editor: Shaiful Shamsudin 
 

Advertisement

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found