Skip to main content

Sukan Lain

LTdL: Harrif terkilan terlepas podium akibat 'dikepung'

harriff-salleh.jpg
"Saya dihimpit."

Pelumba harapan tempatan, Harrif Salleh, meluahkan kekecewaan berikutan gagal mendapatkan kedudukan podium Le Tour de Langkawi (LTdL) di laman sendiri hari ini setelah dihimpit oleh kelompok besar peloton ketika bersaing menuju garisan penamat.

Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) itu mengakui peringkat kedua kejohanan edisi ke-25 di Terengganu berkenaan menjadi sasaran peribadi untuknya mengulangi pencapaian tahun lalu apabila menjadi warga tempatan yang menakluki podium utama dalam saingan tersebut.

Pakar pecut berusia 32 tahun itu ternyata terkilan apabila terperangkap dalam kawanan besar pelumba ketika beberapa meter menuju ke garisan penamat yang menyaksikannya sekadar menamatkan saingan di kedudukan kelima keseluruhan.

Pengubat hati buat pelumba kelahiran Terengganu itu ialah apabila diangkat sebagai pelumba terbaik Asia peringkat kedua.

"Memang mengecewakan kerana hari ini keadaan saya tampak di tahap yang baik dan berpeluang untuk menang. 

"Tetapi pelumba daripada pasukan NTT Pro Cycling yang dihimpit keletihan mendorongnya untuk memperlahankan kayuhan.

"Situasi itu telah menutup peluang saya untuk memintasnya. Jadi, bukan rezeki saya hari ini biarpun berasakan masih mempunyai tenaga," katanya. 

Saingan akan bersambung esok dengan membabitkan laluan sejauh 162.5km dari Temerloh ke Kuala Lumpur yang menjanjikan lebih banyak cabaran, khususnya apabila zon pendakian kembali ditawarkan untuk pelumba merebut jersi merah raja bukit serta tiga zon pecutan untuk pakar pecut. 




Editor: Shaiful Shamsudin 

Advertisement

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found