Skip to main content

Sukan Lain

LTdL: Harrif takluki peringkat kelima

harrif.jpg
Selepas empat peringkat kempunan tanpa sebarang podium, pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Muhd Harrif Salleh, mengotakan janji untuk menakluki peringkat kelima saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 hari ini, menyamai pencapaian dilakarnya dalam edisi lalu.

Memasuki peringkat kelima LTdL 2020, perlumbaan menjadi lebih sengit dengan 117 pelumba sahaja memulakan saingan di Kuala Kubu Bahru dan tamat di Dataran Meru Raya, Ipoh, merangkumi jarak sejauh 165.8km.

Tugas mudah buat pemegang jersi merah raja bukit, Nur Aiman Zhariff, untuk mempertahankan gelaran itu untuk peringkat ini memandangkan tiada zon pendakian ditawarkan buat semua pelumba.

Sebaliknya, terdapat tiga lokasi pecutan menjadi rebutan, yang menyaksikan tiga pelumba berbeza menguasainya, didahului Harrif daripada TSG di Tanjung Malim, Dusan Rajovic daripada pasukan Nippo Delko (Slim River) dan lokasi terakhir di Tapah milik pelumba kebangsaan, Nik Mohd Azwan Zulkifli.

Nik Azwan terus memacu laju basikalnya untuk berada dalam kelompok hadapan bersama tiga lagi pelumba, termasuk juara kebangsaan 2019, Amirul Fakruddin Mazuki menuju 50km terakhir.

Akhirnya, rakan sepasukan Amirul, Harrif menjadi individu pertama untuk melintasi garisan penamat sambil Maximillian Walschield di tempat kedua manakala Matteo Pelucchi berpuas hati di tempat ketiga.
Tiada perubahan besar buat penyarung jersi utama, dengan Danilo Celano daripada Team Sapura Cycling (TSC) masih gah menyarung jersi kuning pendahulu bersama Aiman sebagai raja bukit.

Begitu juga pemegang jersi putih pelumba terbaik Asia milik Federov Yevgeniy.

Pelumba berusia 31 tahun itu menganggap kejayaannya mengungguli peringkat kelima LTdL menutup mulut pengkritik setelah membuktikan anak watan mampu mengetepikan barisan pelumba pilihan berstatus pasukan jelajah dunia.

"Kemenangan ini sungguh bermakna. Ramai yang memberitahu saya ketiadaan pasukan jelajah profesional, ia memudahkan peluang untuk menang.

"Namun, tiada perbezaan yang besar di antara pasukan jelajah profesional dan jelajah dunia. Kemenangan ini adalah untuk menutup mulut pengkritik saya," katanya.

Mengenai perancangan bersama TSG, dia menjelaskan, "Saya perlu berfikir mengenai masa depan saya kerana sudah bersama pasukan ini selama sembilan tahun. Namun, perancangan mereka untuk terus bersaing dalam peringkat yang lebih tinggi dan saya berasakan akan kekal dengan TSG."



Editor: Ammar Hakim

Advertisement

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found