Skip to main content

Sukan Lain

LTdL: Harrif kempunan kedudukan podium

harrif-salleh.jpg
Hasrat pelumba berbasikal negara, Mohd Harrif Salleh, daripada pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) untuk menggapai satu lagi kejuaraan dalam Le Tour de Langkawi (LTdL) edisi ini tidak kesampaian selepas dia menamatkan peringkat kelima dari Tanjung Malim ke Taiping di tempat keempat, hari ini.

Harrif sebelum ini mencipta kejutan dengan menjuarai peringkat kedua dari Senawang ke Bandar Hilir, Ahad lalu.

Dia mengakui masih lagi kepenatan selepas mendaki puncak Genting Highlands semalam dan ia memberi kesan ketika dia mencuba untuk melakukan pecutan pada kilometer terakhir.

"Perlumbaan hari ini agak menyukarkan.

"Saya berasa amat penat pada 25 kilometer terakhir.

"Saya berada di kedudukan terbaik, mungkin kaki saya tidak sempat pulih.

"Saya sudah nampak podium, namun keadaan kaki saya tidak begitu baik ketika menuju ke garisan penamat.

"Bagaimanapun, saya sudah mencuba yang terbaik untuk berada di dalam kelompok depan," katanya.

Dalam masa sama, Harrif turut mengakui agak sukar untuk dia merampas jersi hijau (raja pecut) daripada pelumba Floyds Pro Cycling, Travis McCabe, yang kini selesa dengan 58 mata manakala Harrif ketinggalan 16 mata di belakang pendahulu itu.

Bagaimanapun, dengan melihat kepada laluan bagi baki tiga peringkat selepas ini, pelumba kelahiran Terengganu itu masih optimis untuk sekali lagi menggapai kedudukan podium.

"Untuk jersi kuning (pendahulu keseluruhan) dan jersi putih (pelumba terbaik Asia), kami sememangnya sudah tiada harapan.

"Namun, saya akan mencuba sebaik mungkin untuk menaiki podium," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video