Skip to main content

Sukan Lain

LTdL: Bevilacqua ungguli peringkat ketujuh

bello.jpg
Peringkat ketujuh saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019 menyaksikan pelumba bukan pilihan menguasai perlumbaan yang berlangsung di Pantai Cenang, Pulau Langkawi hari ini.

Laluan yang meliputi sejauh 106.8 kilometer itu menawarkan tiga zon pecutan dan dua zon pendakian.

Zon pecutan pertama di Pelabuhan Telaga diungguli Grigoty Shtein, seterusnya di Nyior Chabang pula menyaksikan Luca Raggio di depan, sementara zon pecutan terakhir di Padang Matsirat pula milik Nicholas Zukowsky.

Pemegang jersi merah raja bukit, Angus Lyon, pula mempamerkan kayuhan terbaik apabila menguasai dua zon pendakian di Pelabuhan Telaga dan Bukit Beringin.
 
Menuju 10km terakhir perlumbaan, beberapa pelumba membuat pemecahan, namun segera ditangkap peloton, yang menyaksikan saingan menjadi lebih sengit 3km menuju garisan penamat.

Simone Bevilacqua dari pasukan Neri Sottoli Selle Italia KTM dinobatkan sebagai juara peringkat ketujuh LTdL 2019 dengan catatan 2 jam 17.59 saat, Charlampos Kastrantas dari Brunei Continental Cycling Team di kedudukan kedua dan Craig Wiggins di tangga ketiga.

Pelumba negara, Mohd Harrif Salleh, tidak mengecewakan apabila menamatkan saingan di tempat kesembilan keseluruhan.

Jersi kuning pendahulu keseluruhan masih lagi dipegang Benjamin Dyball dari Team Sapura Cycling (TSC), sementara Lyon pula sudah sebelah kaki menjadi raja bukit LTdL musim ini apabila pungutan matanya sukar digugat pencabar lain. 

"Saya sebenarnya bukanlah pakar pecut dalam pasukan, namun saya mengetahui kami amat memerlukan kemenangan dan kami berasa gembira apabila dapat melakukan kejutan di sini," kata Bevilacqua.

"Saya telah berusaha untuk mengejar kelompok utama tetapi sekadar menghuni tangga kesembilan. Saya berada di tahap terbaik tetapi nasib kurang menyebelahi saya kerana terhalang di awal saingan," kata Harrif.

Advertisement

Must Watch Video