Skip to main content

Sukan Lain

LTdL: Aiman gembira dapat bantu TSC

aiman.jpg
Setelah lima hari saingan Le Tour de Langkawi (LTdL), kelibat pelumba Team Sapura Cycling (TSC), Nur Aiman Zhariff, baru dirasai setelah dia ditugaskan untuk mengambil alih peranan rakan sepasukan, Mohd Zawawi Azman, yang mengalami kecederaan.

Kelibat Aiman agak tenggelam dalam beberapa perlumbaan sebelum ini.

Zawawi mengalami kemalangan dalam peringkat kelima semalam dan situasi itu memberi ruang buat Aiman untuk menyinar apabila mengambil alih tugas menjaga rakan sepasukan, Benjamin Dyball, yang merupakan penyarung jersi kuning pendahulu keseluruhan selain mencabar tiga zon pecutan dalam peringkat keenam perlumbaan dari Bagan ke Alor Setar hari ini.

Aiman berjaya melaksanakan tugas itu dengan baik apabila mengungguli zon pecutan kedua memasuki kilometer 52 km di Gurun selain membantu TSC mengekalkan kedudukan jersi kuning untuk tiga hari berturut turut.

"Saya bertindak membantu pelumba utama negara bagi memastikan jersi kuning kekal milik TSC," katanya.

Keutamaan Aiman dan rakan sepasukan kini bukan lagi cuba mengejar kedudukan podium, sebaliknya mahu melakar sejarah bersama TSC menjuarai saingan LTdL buat julung kalinya dengan berbaki dua peringkat sahaja lagi.

"Setiap pasukan sedang mengejar usaha untuk merampas jersi kuning menjelang dua peringkat terakhir, jadi TSC akan berusaha lagi untuk memastikan kami menjuarai LTdL kali ini," katanya.

Advertisement

Must Watch Video