Skip to main content

Sukan Lain

LTdL: Aiman, Amar sudah lupakan insiden Sukma

ltdl_1.jpg
Dulu lawan, kini kawan. 

Pelumba muda negara, Shamir Aiman Abdul Halim dan Nurfitri Amar Rosli, sudah melupakan episod sengketa dalam Sukan Malaysia (Sukma) Perak tahun lalu apabila kini menjadi muka baru skuad kebangsaan untuk menghadapi cabaran Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019.

Aiman dan Amar yang ketika itu mewakili Terengganu dan Johor bersaing dalam acara berlepas beramai-ramai dan menuju garis penamat sebelum berlakunya perlanggaran membabitkan kedua-dua pelumba itu.

Insiden tersebut menafikan peluang Amar untuk meraih pingat emas sehingga wujud pelbagai sentimen di media sosial.

Bagaimanapun, mereka sudah pun melupakan insiden tersebut dan teruja apabila diberi peluang membuat penampilan pertama dalam skuad senior.

"Kami pernah dalam satu pasukan ketika beraksi di peringkat Eropah, hubungan kami tiada masalah," kata Aiman.

Menurut Amar: "Saya amat teruja dan bangga kerana sememangnya saya mahu menyertai LTdL sejak bergelar pelumba pelapis."

Dalam masa sama, pelumba paling senior dalam pasukan kebangsaan, Nik Azwan Mohd Azwab Zulkiflie, menganggap latihan intensif skuad negara sejak beberapa minggu lalu mampu untuk membantu mereka memenangi beberapa peringkat yang menjadi sasaran seperti peringkat kelima dari Tanjung Malim ke Taiping, Perak. 

"Tengok tuah pada hari perlumbaan. 

"Kalau kami dah berikan aksi 100 peratus dan ada peluang sampai ke penamat, kami boleh menaiki podium," katanya.

Advertisement

Must Watch Video