Skip to main content

Sukan Lain

Lochte kembali beraksi selepas penggantungan

ryanlochte.jpg
Selepas digantung selama 14 bulan daripada saingan kompetitif kerana melanggar peraturan anti-doping, Ryan Lochte kembali membuat penampilan semalam apabila beraksi dalam Kejohanan Renang Kebangsaan Phillips 66 di Palo Alto, California.

200 meter rampaian individu merupakan acara pertama Lochte yang melakukan catatan masa 1 minit 57.88 saat, keempat terpantas oleh perenang Amerika Syarikat musim ini, dan cukup untuk melayakkan dirinya ke kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020, menurut SwimSwam.

Dia bakal beraksi dalam empat lagi acara -- 100m kuak kupu-kupu, 100m kuak lentang, 200m gaya bebas dan 400m rampaian individu.

“Saya berseronok kerana kembali berenang," kata Lochte menerusi USA Today. “Kali terakhir saya berasakan sebegini ialah dalam Sukan Olimpik 2012.

"Ia merupakan tempoh yang sangat panjang dan saya mengukir senyuman setiap kali menamatkan perlumbaan, dan saya terhutang budi kepada anak-anak dan isteri saya. Mereka adalah tulang belakang sepanjang perjalanan saya sejak tiga tahun lalu.

“Saya kembali berseronok dan ia sangat menakjubkan.

Selepas perlumbaannya semalam, perenang berusia 34 tahun itu turut berkongsi mengenai kehidupannya di luar kolam renang dan terdapat perubahan sepanjang menerima dua hukuman.

Lochte telah digantung selama 10 bulan di atas insiden yang berlaku di stesen minyak ketika saingan Sukan Olimpik Rio 2016 di mana dia mengakui telah mereka cerita tentang dirinya dan tiga rakan sepasukan renang AS telah dirompak.

Penggantungan kedua hadir selepas dia memuat naik gambar di laman sosial sedang menerima cecair IV.

Satu penyiasatan menemui Lochte telah "menerima infusi intravena bahan-bahan yang dibenarkan", namun melepasi had 100 mililiter (mL) dalam tempoh 12 jam. Dia kemudian menjelaskan semalam bahawa ia adalah Vitamin B12 kerana isterinya, Kayla Rae, dan anak, Caiden, demam ketika dia membuat persiapan menghadapi kejohanan.

“Saya tidak mahu berjangkit, terutama sekali ketika menghadapi kejohanan. Jadi, saya mengambil infusi Vitamin 12 tetapi melanggar had yang telah ditetapkan. jadi saya telah menerima hukuman di atas perbuatan saya," katanya lagi.

Selain itu, pemenang pingat emas enam kali Sukan Olimpik itu turut berjaya merawat dirinya daripada masalah alkohol.

“Saya berasakan sudah tiba masa untuk melakukan perubahan. Jadi, saya memasuki pusat rehabilitasi dan membantu diri saya mengatasi masalah yang dihadapi. Saya perlukan perubahan ini untuk menjadi manusia yang lebih berguna."

Advertisement

Must Watch Video