HOKI
Liga Hoki Wanita milik PKS Uniten, Lailin puas hati aksi pemain
Gelaran juara Liga Hoki Wanita terpaksa ditentukan dalam perlawanan terakhir, dengan PKS Uniten-KPT membelasah Penang Juniors 8-0 untuk dinobat sebagai juara menerusi perbezaan jaringan di Stadium Hoki Bukit Jalil, semalam.
Anak buah Lailin Abu Hassan itu turun dengan misi memburu jaringan sebanyak mungkin dalam usaha meraih gelaran liga musim ini.
"Saya sangat berpuas hati dengan pemain-pemain PKS United sepanjang liga ini walaupun sukar juga pada hujung saingan.
Iklan
"Dengan adanya semangat yang ditunjukkan, saya berharap mereka dapat teruskan ke perlawanan kalah mati pada Rabu ini," kata Lailin.
Pesta gol PKS Uniten bermula sejak minit ke-14 menerusi Ellya Shahirah Ellias sebelum penyerang kebangsaan, Hanis Nadiah Onn, menjadikan kedudukan 2-0 seminit kemudian.
Memasuki suku ketiga perlawanan, PKS Uniten terus bernafsu merobek gawang lawan apabila menambah dua lagi jaringan menerusi Nuraini Abdul Rashid dan Nurul Nabihah Mansur.
Penang Juniors terus longlai apabila mereka bolos lagi empat gol, masing-masing menerusi Nabihah, Hanis dan Fatin Shafika Mohd Shukri dalam suku keempat.
Sementara itu, meskipun Blue Warriors turut mecatakan kemenangan 3-1 ke atas Terengganu Ladies Hockey Team (TLHT) dan mengumpul 30 mata bersama PKS Uniten, namun perbezaan jaringan 13 gol menjadi pemisah, sekali gus membawa PKS Uniten kepada juara liga untuk 2018.
"Alhamdulillah, kami dapat capai misi kami, iaitu juara liga. Kemenangan ini membakar semangat untuk kami memburu satu lagi kejuaraan," kata kapten pasukan, Raja Sharina Raja Shabuddin.
Sementara itu, Hanis berkata: "Setakat ini saya berpuas hati dengan prestasi saya. Pasukan akan fokus dalam separuh akhir bertemu Kuala Lumpur."
Must-Watch Video