Skip to main content

Hoki

Liga Hoki Dunia: Kumar akur sentuhan berbisa Peillat

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

17617skumar.jpg
Penjaga gol hoki negara, S. Kumar terpaksa akur dengan kualiti pukulan sudut penalti pemain Argentina, Gonzalo Peillat, yang menyaksikan Malaysia tewas 5-2 dalam aksi sulung saingan separuh akhir Liga Hoki Dunia di London awal pagi tadi.

Skuad bimbingan Stephen Van Huizen cuba melakar kejutan dalam aksi berdepan pasukan di ranking nombor satu dunia itu, namun terpaksa menerima kekalahan apabila Peillat mempamerkan taringnya menerusi enam pukulan sudut penalti dan empat daripadanya berjaya menghasilkan jaringan.

Kumar menjelaskan bahawa skuad Malaysia telah membuat persiapan rapi bagi menghadapi pakar pukulan sudut penalti itu, namun terdapat kesilapan yang berlaku sehingga membawa padah.

"Ini merupakan pertama kali saya berdepan Peillat. Kami telah membuat persiapan yang rapi bagi menghadapi pukulan sudut penalti, cuma terdapat beberapa kesilapan dalam larian pertama yang sesuatu yang tidak dijangka telah berlaku," kata Kumar.

"Kemahiran yang dimilikinya sangat baik, namun kami perlu memperbaiki permainan kami."

Di sebalik kekalahan tersebut, Kumar memuji kesungguhan rakan sepasukannya yang cuba memberikan saingan dalam perlawanan tersebut, malah menyifatkan mereka perlu memberikan tumpuan kepada tiga aksi akan datang bermula dengan pertemuan berdepan pasukan tuan rumah, England.

"Kami telah mempamerkan kesungguhan dalam perlawanan berdepan Argentina, cuma dihukum dengan kesilapan yang seharusnya dapat dielak. Bagaimanapun, kami perlu mengekalkan fokus bagi tiga perlawanan akan datang untuk mara lebih jauh dalam saingan kali ini."

The Malaysian Hockey Tigers bermula baik apabila dua kali bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat kedudukan 2-2 sebelum tamat separuh masa pertama.

Gol Malaysia dijaringkan penyerang, Shahril Saabah, pada minit ketujuh dan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil sebelas minit kemudian.

Selepas rehat, Peillat memusnahkan impian Malaysia dengan dua lagi gol peribadi sebelum penyerang, Facundo Callioni, melengkapkan kemenangan pasukan ranking pertama dunia itu pada minit ke-49.

Ia kemenangan kedua berturut-turut Argentina, sekali gus berpeluang cerah untuk menjuarai Kumpulan A.

Advertisement

Must Watch Video