Skip to main content

Hoki

Liga Dunia Wanita: Dhaarma mahu pelbagaikan corak bertahan

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

hoki-wanita-130617.jpg
"Kami mengharapkan keajaiban memihak kepada Malaysia." Demikian laungan terakhir ketua jurulatih skuadhoki wanita negara, Dhaarma Raj Abdullah, sebelum meninggalkan tanah air untuk beraksi dalam pusingan separuh akhir Liga Dunia Wanita di Brussels, Belgium. 

Sudah kebal dengan tanggapan sesetengah pihak yang menyifatkan skuad hoki wanita negara sekadar pasukan belasahan, tidak keterlaluan untuk Dhaarma mengharapkan keajaiban berlaku dalam misi layak ke Piala Dunia 2018. 

Tekanan makin menghimpit apabila Dhaarma yang mengikuti rapat perkembangan lawannya menyedari Sepanyol juga tidak boleh dipandang mudah selepas mereka mencatat kemenangan 2-1 ketika menentang New Zealand dalam aksi ujian. 

"Sepanyol berjaya menewaskan New Zealand dalam aksi persahabatan. 

"Mana-mana pasukan yang menewaskan barisan skuad utama New Zealand yang layak ke separuh akhir Liga Dunia, ini bermakna Sepanyol bukan calang-calang pasukan. 

"Mereka pasti mempunyai kekuatan yang luar biasa untuk meraih keputusan itu," katanya. 

Bagaimanapun, dia percaya anak buahnya sudahpun bersedia daripada segi mental dan fizikal sebelum mereka berlepas semalam demi misi mengharumkan nama negara.

Bakal tiba di Amsterdam terlebih dahulu hari ini, skuad negara akan berdepan tiga perlawanan persahabatan di mana Dhaarma mahu pemainnya mempamerkan aksi berlainan untuk mempersiapkan diri bagi aksi sebenar nanti. 

"Kami akan menampilkan pendekatan berlainan dalam setiap perlawanan persahabatan nanti. 

"Ini kerana kami tidak mampu untuk turun dengan corak menyerang.

"Kami akan bermain secara bertahan, jadi kami akan cuba dengan gaya bertahan yang berbeza."

Advertisement

Must Watch Video