Skip to main content

Hoki

Liga Dunia: Sukri yakin dengan peluang Malaysia di separuh akhir

sukri-mutalib.jpg
Sikap positif rakan sepasukan meningkatkan keyakinan kapten hoki negara, Sukri Mutalib, untuk ke Kelayakan Piala Dunia 2018 selepas dihantui aksi 'lambat panas' ketika Malaysia meraih kedudukan kelima dalam Piala Sultan Azlan Shah 2017 (PSAS 2017).

The Malaysian Hockey Tigers sekali lagi dikritik dengan aksi lambat panas.

Skuad kendalian Stephen Van Huizen memulakan saingan dengan keputusan seri sebelum tewas tiga perlawanan berturut-turut.

Bagaimanapun, skuad hoki negara bangkit dalam aksi terakhir dengann kemenangan ke atas India (1-0) sebelum mengatasi Jepun (3-1) dalam penentuan tempat kelima dan keenam.

Secara keseluruhan, Malyasia menjaringkan enam gol dengan empat daripadanya menerusi pukulan sudut penalti.

Jumlah itu menyamai pencapaian ketika peringkat kumpulan edisi 2006 di mana akhirnya Malaysia menamatkan cabaran di tangga kelapan.

Begitupun, Sukri gembira dengan kebangkitan rakan sepasukan pada hujung saingan.

"Walaupun bermula dengan agak perlahan pada awal kejohanan, selepas itu kami bangkit, jadi itu bukti pemain ada perwatakan positif.

"Saya berharap aksi dalam Piala Sultan Azlan Shah akan membantu kami meningkatkan permainan sebelum ke London," jelas Sukri.

Pada masa sama, Van Huizen mengakui berpuas hati kerana dapat membuat penilaian menyeluruh akan prestasi keseluruhan pemain.

"Kami gembira kerana enam perlawanan ini memberi peluang untuk kami menilai kedudukan kami. Dalam tempoh lima minggu ini, kami akan menggunakannya untuk memperkemaskan permainan," katanya.

Masih ada masa untuk Van Huizen menyelesaikan masalah di Ipoh menjelang separuh akhir Liga Dunia di London, England yang akan berlangsung kurang 40 hari lagi.

Sementara itu, bekas kapten hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi, berpendapat skuad negara sudah hampir bersedia menghadapi separuh akhir Liga Dunia dan hanya perlu membuat sedikit penambahbaikan.

"Saya melihat petanda yang positif, terutama ketika mereka menewaskan India dan Jepun. Tetapi statistik menunjukkan skuad negara perlu menajamkan lagi aspek pukulan sudut penalti dengan pemain penyerang juga perlu melakukan penyudah yang lebih baik.

"Saya melihat mereka tidak perlu lagi untuk membuat perubahan drastik," ujar Mirnawan.

Pencapaian Malaysia di PSAS 2017:

Malaysia 1-1 Jepun
Malaysia 1-6 Australia
Malaysia 0-1 Great Britain
Malaysia 0-1 New Zealand
Malaysia 1-0 India
Malaysia 3-1 Jepun 
 

Advertisement

Must Watch Video