Skip to main content

Hoki

Liga Dunia: Sukri mahu benteng negara diperkukuhkan

sukri-310517.jpg
Kapten hoki negara, Sukri Mutalib, belum berpuas hati walaupun Malaysia mempamerkan aksi mantap ketika membelasah skuad pembangunan, 6-1, dalam aksi persahabatan menjelang separuh akhir Liga Dunia di London, England, bermula 15 Jun depan.

Kebimbangan mengenai ketumpulan jentera serangan dan pukulan sudut penalti berjaya diatasi dalam aksi di Stadium Hoki Tun Razak itu.

Namun, ia belum cukup memuaskan hati Sukri.

Kapten berusia 31 tahun itu menuntut aksi lebih bertenaga kerana pasukan yang bakal dihadapi di London nanti jauh lebih sukar, terutama pemenang emas Sukan Olimpik Rio 2016, Argentina, selaku lawan pertama.

"Masih banyak yang perlu diperbaiki, terutama aspek bertahan kerana apa yang saya perhatikan, dalam suku ketiga kami membenarkan mereka mendapatkan tiga pukulan sudut penalti dalam tempoh yang dekat. 

"Kami perlu mengkaji semula rakaman permainan kami dan melihat kelemahan-kelemahan kami. 

"Saya pasti jurulatih akan memberi arahan dalam perlawanan seterusnya," katanya. 

Dalam aksi itu semalam, Tengku dan Najmi masing-masing meledak dua gol untuk Malaysia.

Dua lagi gol disumbangkan pakar pukulan sudut penalti, Muhammad Razie Abd Rahim, dan pemain pertahanan, Faiz Helmi Jali.

Gol saguhati skuad pembangunan pula disumbangkan Mohd Ramadan Rosli.

Kedua-dua pasukan akan berentap dalam aksi persahabatan kedua, esok, sebelum Malaysia berlepas ke London, 7 Jun depan.

"Ini perlawanan pertama kami sejak kempen Piala Sultan Azlah Shah, saya berasakan masih banyak yang perlu dipertingkatkan sebelum kami menghadapi Liga Dunia," kata penyerang negara, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil. 

 

Advertisement

Must Watch Video